SEBUAH feri yang membawa 251 penumpang terbalik ketika ombak besar di Filipina hari ini dengan jumlah kematian yang belum diketahui, kata pengawal pantai.
Kemalangan itu berlaku di bandar Real kira-kira 70km timur Manila ketika feri berkenaan dalam perjalanan dari pelabuhan menuju ke pulau terpencil Polillo, kata jurucakap pengawal pantai Armand Balilo pada satu sidang akhbar.
“Kami dengar ada kematian, tetapi kami masih cuba mengesahkannya,” katanya, menambah helikopter penyelamat dan kapal sedang menuju ke tempat kejadian.
Beliau berkata pihaknya yakin cuaca buruk adalah faktor utama dalam kemalangan itu.
Katanya, beberapa bot yang berada di kawasan berhampiran tempat kejadian turut menyelamatkan sesetengah daripada penumpang feri terbabit.
Dipercayai, feri itu berlepas dari Real dilanda ribut tropika Tembin, yang diramalkan akan melanda negara itu awal Jumaat.
Bagaimanapun, Balilo berkata feri itu dibenarkan untuk berlayar kerana tidak ada tanda amaran akan berlaku ribut di atau sekitar Real dan Polillo, timur kepulauan Luzon.
Kapal itu dibenarkan untuk membawa 286 penumpang.
Kerajaan menasihatkan warga Filipina yang bercadang untuk pulang ke kampung untuk meraikan Krismas supaya bertolak lebih awal daripada biasa bagi mengelak hujan lebat yang dijangka melanda menjelang musim cuti akhir tahun.
Filipina, yang mempunyai lebih 7,000 pulau di lingkaran taufan Pasifik, turut berdepan masalah pengangkutan laut yang tidak sempurna.
Kemalangan 30 tahun lalu membabitkan sebuah feri bernama Dona Paz, bertembung dengan kapal minyak, menyebabkan lebih 4,000 maut, menjadi bencana maritim terburuk dunia. – AFP, 21 Disember, 2017.
Komen