Perkukuhkan Pakatan atau bentuk gabungan baharu?


PADA 9 Mei 2018 sejarah baru tercipta di Malaysia. Rejim Parti Perikatan/Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa selama lebih enam dekad telah ditumbangkan oleh pakatan parti oposisi baharu – Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan PH dalam menewaskan BN telah mengejutkan ramai pengamat politik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan penuh bagi kesemua 222 kerusi Parlimen selepas berakhir proses penjumlahan undi pada 4.45 pagi pada 10 Mei 2018. 

Barisan Nasional (BN) memperoleh 79 kerusi, PAS (18), PKR (104), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3). 

Secara keseluruhannya, jumlah peratusan pemilih  yang keluar mengundi pada PRU-14 lalu adalah 82.32 peratus (12,299,514 orang) daripada jumlah keseluruhan pemilih berdaftar bagi PRU-14 iaitu 14,940,624 orang. 

PH berjaya menewaskan BN dan PAS pada peringkat kerusi parlimen dengan 122-79-18. 

Apabila keputusan PRU14 meletakkan gabungan yang paling kurang membincangkan isu-isu yang eksklusif kepada etnik dan agama sebagai pemenang, maka ia adalah merupakan satu pengukuhan kepada wajah politik baru yang lebih menekankan wacana nasionalisme dan kesejagatan, keadilan sosial, peranan wanita dan pemuda, hak asasi manusia, kesaksamaan ekonomi dan layanan terhadap kelas masyarakat yang berbeza.

Faktor Pakatan menang

Kerjasama dalam kalangan parti di Malaysia seperti Parti Tindakan Rakyat (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dilihat bermula semenjak tahun 1999 dan dari  situ dapat diperhatikan berlaku pasang surut dalam hubungan kerjasama tersebut. 

Selepas perpecahan Angkatan Perpaduan Ummah pada 1996 sekali lagi cuba mewujudkan kerjasama yang dikenali sebagai Barisan  Alternatif pada tahun 1999. Barisan Alternatif berjaya menggabungkan DAP dan PAS selepas  September 1998. Hasilnya memperolehi sebanyak 42 kerusi parlimen daripada kerjasama tersebut.

Selepas berjaya mengurangkan BN  dari segi undi popular dan mengalahkan beberapa timbalan menteri dan menteri sendiri, berlaku perbezaan pendapat antara parti komponen dalam Barisan Alternatif, yang seterusnya membawa kepada perpecahan Barisan Alternatif. 

Kesan dari perpecahan ini menyebabkan semua parti-parti kalah teruk dalam pilihan raya tahun 2004.

Selepas kegagalan Barisan Alternatif ini, sebuah lagi pakatan pembangkang baru cuba diwujudkan yang digelar Pakatan Rakyat, yang dibentuk pada 1 April 2008. 

Walaupun Pakatan Rakyat itu dilihat begitu gagah dan berjaya menang dengan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun 2013, namun akhirnya Pakatan Rakyat ini berpecah juga pada  tahun 2015. 

Ketika PRU13 pada 2013, Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS yang memasuki pilihan raya mendapat purata anggaran undi Melayu di seluruh negara sebanyak 35%. Dengan jumlah ini dan bersama undi etnik-etnik lain, PR mendapat sebanyak 89 kerusi di peringkat Parlimen. 

Satu andaian yang dibuat dan selalu disebut-sebut adalah 35% undi etnik Melayu itu hasil daripada undi penyokong parti PAS kepada PR. 

Apabila PR dibubarkan dengan ketiadaan PAS dan penyertaan Amanah, terdapat andaian bahawa 35% undi etnik Melayu kepada PH akan lupus. Namun, semua andaian tersebut dibuktikan tidak benar. 

Dalam keputusan PRK Kuala Kangsar, didapati sebahagian daerah mengundi yang majoriti Melayu seperti daerah mengundi Pekan Sungai Besar, Kampung Baharu Nelayan dan Taman Berkat di Sungai Besar dan Daerah Mengundi Manong di Kuala Kangsar, undi Amanah mengatasi PAS.

Pasca perpecahan Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan yang mendokong aspirasi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional telah tertubuh pada 22 September 2015. Tanggal 10 Mei 2020 menjadi detik bersejarah apabila Pakatan Harapan diberikan mandat menubuhkan kerajaan dan mentadbir negara. 

Antara faktor utama Pakatan Harapan berupaya menumbangkan Barisan Nasional adalah  kesepaduan parti-parti pembangkang di bawah naungan Pakatan Harapan ketika itu cukup utuh dan padu dengan kempen seantero negara dengan penerangan isu semasa kepada rakyat.

Bahkan PRU14 yang lalu kelemahan kepemimpinan parti komponen Barisan Nasional terserlah apabila tiga presiden parti – MCA, MIC dan GERAKAN – kalah.  

Untuk rekod, dalam PRU14, undi popular Pakatan Harapan meningkat kepada 50.1 peratus, BN menurun kepada 31.9 peratus dan PAS hanya 18 peratus. 

Untuk PRU15, banyak yang perlu dilakukan oleh Pakatan Harapan untuk mengekalkan atau menambah pola undi popular. Malah di saat yang genting ini, Pakatan Harapan perlu mengukuhkan hubungan sesama parti komponen dengan formula tambahan, mana-mana parti pembangkang yang hendak bekerjasama dalam PRU-15, wajar dialu-alukan dengan memenuhi terma serta syarat yang ditetapkan oleh Pakatan Harapan.

Berdasarkan analisis ringkas PRU14, rujuk jadual Peratusan Undi Mengikut Kaum di Semenanjung Malaysia. 

Sungguhpun sokongan pengundi Melayu untuk BN telah menurun dengan mendadak, ia tidak cukup untuk PPBM menembusi kawasan kubu kuat UMNO dan ini menyebabkan kegagalan PPBM yang hanya mampu memenangi 12 kerusi. 

Dengan situasi semasa yang keduanya bekerjasama dalam Perikatan Nasional, kekuatan mungkin bertambah namun cabaran menyelesaikan isu pertindihan kerusi pastinya tidak mudah.

Alternatif gabungan baharu

Berdasarkan keputusan PRU14 yang lalu, hampir separuh iaitu 7.09 juta daripada jumlah pengundi berdaftar adalah pengundi muda berusia antara 21 tahun hingga 39 tahun. 

Majoriti pengundi merupakan mereka yang lahir selepas kemerdekaan melibatkan generasi X dan Y. Dianggarkan seramai 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih untuk tempoh lima tahun. 

Justeru, pengundi muda menjadi penentu pembentukan kerajaan pada masa akan datang kerana jumlah mereka melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Dengan ketidaktentuan hubungan antara parti komponen Pakatan Harapan ketika ini dan sekiranya berlarutan dengan hal yang tidak memuaskan hati mana-mana anggota komponen, tidak mustahil perkara yang lepas ketika dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat akan berulang.

Seandainya berlaku senario terburuk iaitu polemik berterusan sehingga melemahkan gabungan sedia ada menjelang PRU-15, maka alternatif yang boleh difikirkan adalah membuat pensejajaran semula dengan mewujudkan gabungan baharu bagi mengelakkan pertandingan banyak penjuru. 

Formula gabungan baharu dengan melibatkan parti-parti pembangkang sedia ada serta mungkin parti-parti dalam koalisi pemerintah boleh dipertimbangkan. Namun, adakah formula ini akan berjaya? Belum tentu.

Berdasarkan analisis ringkas daripada beberapa kajian yang telah dilakukan, dapat dirumuskan dalam konteks politik di Malaysia; memenangi pilihan raya dan akhirnya mampu memerintah negara hanya boleh dilakukan dengan gabungan politik yang kukuh. 

Kesepakatan di setiap peringkat, kepimpinan yang bergerak secara konsensus adalah ramuan terbaik sekiranya mahu Pakatan Harapan kembali ampuh. 

Kegagalan dalam mengadun ramuan tersebut bakal menatijahkan perpecahan, dan kekalahan adalah akibat akhir melalui perpecahan tersebut. – 29 November, 2020.

*Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua Pemuda Amanah Nasional*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen