Bekas pengarah Mardi maut dalam rompakan di Bangsar


Ravin Palanisamy

Polis berkawal di Jalan Mambu di Bangsar, susulan insiden rompakan membabitkan sepasang warga emas, awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 29 November, 2020.

SEORANG warga emas terbunuh sementara isterinya cedera parah dalam selepas rumah mereka di Bangsar, Kuala Lumpur dimasuki perompak dalam insiden awal pagi tadi.

Wan Hassan Wan Embong, 71, bekas pengarah di jabatan teknologi maklumat di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) meninggal dunia selepas ditetak di leher dan muka.

Isterinya, Sarifah Yusof, 70, juga pesara kerajaan, kini dirawat di hospital kerana cedera dikelar.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata keseluruhan kawasan tempat kejadian – Jalan Mambu, di Jalan Penaga berhampiran pusat beli-belah Bangsar (BSC) – gelap gelita susulan bekalan elektrik terputus kira-kira 1 pagi.

“Kumpulan perompak terbabit yang tidak memakai topeng, menyerang rumah keluarga itu pada 3.30 pagi,” kata Anuar.

Mangsa terdengar bunyi bising di dapur dan hendak memeriksa apa yang berlaku sebelum diterdah dua perompak yang meminta wang.

Mangsa cuba melawan sebelum ditetak. Sarifah juga dicederakan di bahu kanan ketika beliau cuba membantu suaminya.

Kumpulan perompak itu kemudian melarikan diri dengan barangan berharga yang tidak didedahkan nilainya, melalui tingkap dapur.

Anuar berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini tetapi polis menemui cap jari di tempat kejadian. – 29 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen