Rakyat Malaysia semakin selesa guna e-dagang di era Covid-19


Khoo Gek San

Platform perniagaan e-dagang seperti Lazada dan Shopee menjadi pilihan peniaga terutamanya ketika pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2020.

TABIAT pengguna Malaysia mengalami perubahan ketara sejak pandemik Covid-19 melanda dunia apabila mereka lebih celik digital, menggunakan e-dagang dan e-dompet, kata sebuah platform e-dagang.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata perkara ini dibuktikan dengan peningkatan jumlah penggunaan e-dagang di kawasan luar bandar di Malaysia.

Ho berkata purata pengguna melayari platform e-dagang yang meningkat 20% dari Februari hingga April,  menunjukkan peningkatan kebergantungan pengguna kepada platform digital itu untuk mendapatkan barangan keperluan rumah.

“Kita menyaksikan peningkatan interaksi sosial dalam platform Shopee dengan lebih tiga juta mesej dihantar secara purata setiap hari kerana pengguna boleh berkomunikasi secara terus dengan penjual untuk menyemak harga, stok, masa hantaran dan lain-lain.

“Pengguna membeli pelbagai jenis barangan termasuk barang mahal berharga RM3,000 ke atas seperti peralatan Bosch dan Delonghi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata produk yang paling banyak dibeli di Shopee setakat musim Covid-19 ini adalah Milo disusuli bijirin dan sabun pencuci.

Antara 10 produk paling laris dijual adalah pelitup muka tiga lapis, kotak simpanan, tisu basah, penapis minyak, penggoreng udara, telefon pintar dan topeng kecantikan muka.

Carian paling popular dalam Shopee sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah iPhone, komputer riba, mesin basuh dan televisyen pintar.

Ho berkata pembeli luar bandar juga semakin selesa dengan ekosistem digital kerana mereka beralih daripada kaedah pembayaran konvensional kepada dompet ShopeePay untuk pembayaran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini menyuarakan rasa terima kasih dengan peluang yang wujud di sebalik pandemik yang melanda dunia.

Beliau berkata keyakinan perniagaan dan pengguna terhadap platform e-commerce semakin meningkat terutamanya menerusi inisiatif kementerian mewujudkan Desa Mall Online bagi membantu peniaga luar bandar menceburi e-dagang dan membolehkan pengguna bandar membeli produk mereka.

Beliau berkata jualan maya 11.11 sahaja mencecah RM42,000 dan produk yang tersebut hasil produk dari kawasan luar bandar.

Kerajaan juga memberi peruntukan tunai menerusi e-dompet untuk menggalakkan orang ramai berbelanja secara dalam talian bagi membantu memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat Covid-19. – 29 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen