Tolak perebutan kuasa, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim Kamles Kumar

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan secara maya pada Persidangan Agung Bersatu petang ini. – Gambar ihsan Bersatu, 28 November, 2020.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin partinya supaya menumpukan kepada usaha berkhidmat kepada rakyat dan menolak usaha perebutan kuasa.

Muhyiddin yang mengambil alih kerajaan tanpa melalui pilihan raya itu berkata, rakyat muak dengan politik dan mahukan pemimpin politik yang boleh membantu mereka.

“Ahli Bersatu diingatkan untuk berkhidmat kepada rakyat dan inilah masanya untuk kita berkhidmat kepada rakyat.

“Amalkan politik khidmat, politik prihatin, politik kerja. Bukan politik berebut kuasa. Sampaikanlah khidmat dan bantuan anda kepada mereka yang memerlukan.

“Saya percaya rakyat akan lebih menghargai saudara dan saudari sekalian jika inilah yang saudara dan saudari lakukan,” katanya sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Bersatu petang ini.

Muhyiddin dipilih menjadi menjadi perdana menteri selepas Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dan digantikan dengan kerajaan baru Perikatan Nasional.

Selain beliau berkata pandemik Covid 19 memberikan kesan yang besar terhadap kehidupan rakyat dimana ramai mengharapkan bantuan kerajaan.

Beliau berkata kerana itu fokus kerajaan pada masa ini ialah untuk meringankan beban rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

“Berapa ramai yang telah jatuh miskin. Daripada kumpulan M40 menjadi B40 oleh kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan

“Golongan rentan atau vulnerable groups dalam masyarakat kita adalah kumpulan yang paling teruk terjejas. Selain berpendapatan rendah, mereka tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan seharian di waktu susah,” katanya.

Beliau berkata lagi pelbagai bentuk bantuan prihatin rakyat telah disediakan untuk membantu mereka menyara hidup pada masa yang sukar ini.

Katanya kerajaan pada masa ini juga sedang menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan vaksin Covid 19.

“Seperti yang saya telah umumkan dalam sidang akhbar saya semalam, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia. 

“Insya-Allah, kita akan menerima bekalan vaksin secara berperingkat mulai suku pertama tahun hadapan,” katanya. – 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen