TURKI kini mengenakan “tempoh terhad” bagi permohonan visa oleh rakyat Amerika Syarikat (AS) di misi diplomatiknya selepas Washington mengambil langkah untuk menggantung prosiding visa dengan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.
Timbalan Perdana Menteri Turki Recep Akdag dalam satu kenyataan yang dibuat sehari selepas Kedutaan AS di Turki mengumumkan tarikh paling awal janji temu visa bagi pemohon bukan imigran di misi diplomatiknya di Turki pada Januari 2019.
“Hal ini perlu diperbetul sepenuhnya. Pendirian AS turut mendatangkan kesulitan kepada rakyatnya sendiri,” katanya, sambil menambah “kami juga mempunyai tempoh terhad bagi visa.”
Pada Oktober, kedutaan AS mengumumkan penggantungan perkhidmatan visa bukan imigran kepada rakyat Turki.
Langkah itu berikutan penahanan seorang pekerja tempatan yang bertugas di Konsulat AS di Istanbul, yang mendorong tindak balas dari Ankara.
Pada 4 November, Kedutaan AS di Turki mengumumkan permohonan visa sekali lagi diproses secara terhad di misi diplomatiknya di Turki.
Susulan langkah AS itu, kedutaan Turki di AS turut memproses permohonan visa rakyat AS di misi diplomatiknya di AS “secara terhad”. – Bernama, 21 Disember, 2017.
Komen