Kerjasama Pakatan Harapan: Sikap Mohamad Sabu


APABILA Tengku Razaleigh Hamzah dan kumpulannya menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) dan ingin bekerjasama dengan PAS, pada peringkat awalnya, saya agak sukar menerima kerjasama tersebut. Saya lebih cenderung bekerjasama dengan Parti Islah.

Tetapi apabila parti membuat keputusan untuk bekerjasama dengan S46, maka saya mendukung keputusan parti dan bekerja keras termasuk berceramah ke seluruh negara sepentas dengan pemimpin S46 termasuk Tengku Razaleigh sendiri.

Pada tahun 1999, apabila Pas hendak bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dalam Barisan Alternatif (BA), saya tidak bermasalah kerana yang memimpin Keadilan adalah mereka yang pernah terlibat di dalam gerakan gerakan belia termasuk ABIM, tokoh tokoh akademik dan gerakan sivil serta veteran veteran politik tanah air yang sangat kita kenali.

Ketika berlawan dengan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad, kita lawan bersungguh sungguh sehingga ditahan ISA sebanyak dua kali 1984-1986 dan 1987-1989.

Pelbagai kata dan hentaman telah saya tujukan kepada Dr Mahathir dalam ucapan-ucapan ketika melawan BN dan Dr Mahathir ketika itu.

Tetapi apabila beliau menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya menubuhkan Bersatu untuk melawan kerajaan BN pimpinan Najib Razak, serta menghulurkan tangan untuk bekerjasama, maka kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah Pakatan Harapan.

Kerja keras yang kita lakukan telah berjaya di dalam pilihan raya yang lalu dan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Apabila kita bergabung, untuk berpisah adalah sukar. Kita sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ia membuahkan kejayaan. Begitu jugalah halnya apabila kita bekerjasama dengan PKR pimpinan Anwar Ibrahim.

Dalam kerjasama ini, setiap orang ada kelebihan dan kelemahan. Tetapi apabila kita sudah bergabung amat sukar untuk berpisah disebabkan lamanya perhubungan sesama kita dan kesamaan titik perjuangan.

Hal yang sama berlaku dalam perhubungan dengan Dr Mahathir. Apabila ada suara menasihatkan saya untuk meninggalkan Dr Mahathir dan menghentam beliau, saya katakan tidak.

Kita telah bekerjasama dengan beliau, sama sama sepentas melawan kerajaan Kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali antara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau.

Begitu jugalah dalam Pakatan Harapan yang menggabungkan tiga parti iaitu Amanah, DAP dan PKR.

Hubungan kita dalam Pakatan Harapan khususnya dengan Anwar adalah hubungan yang lama sejak 20 tahun yang lalu; sama-sama bersusah payah dalam perjuangan yang sama. Ia mesti dipertahankan, di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing masing yang boleh diperbaiki.

Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan. Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan.

Inilah sikap saya. – 28 November, 2020.

* Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen