TIGA remaja di Selangor berhati mulia menjalankan kerja amal dengan menjual biskut dan sabun buatan sendiri, anting-anting serta rantai kunci untuk membantu golongan kurang bernasib baik semasa pandemik Covid-19.
Dalam tempoh dua bulan mereka berjaya mengumpul RM14,200, cukup untuk membeli lima komputer riba untuk kegunaan anak-anak yatim di rumah kebajikan Home of Peace.
Arielle Wang Xue Ern, 14, Tianna Avis Rajendra, 15, dan Jessica Ong Suet Ling, 16, adalah tiga rakan yang terlibat dalam gerakan Revolution Movement, yang bertujuan untuk menanam rasa prihatin dalam diri anak muda terhadap masyarakat sekeliling mereka.
Wang, yang bertanggungjawab menguruskan pesanan dan penghantaran, berkata mereka mendapat ilham untuk memulakan projek amal selepas mendapat tahu mengenai kepayahan anak-anak yatim tidak mempunyai peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.
Memandangkan dia sendiri terpaksa menghadapi kebiasaan baharu dalam proses pembelajaran, Wang berkata projek amal yang mereka jalankan mengajarnya supaya tidak mementingkan diri sendiri dan berbuat baik kepada orang yang memerlukan.
“Saya perlu peruntuk banyak masa untuk menjawab pesanan mesej atau panggilan dari pelanggan.
“Kadang-kadang letih juga kerana saya ada banyak tugas lain kena buat, tetapi saya fikir ini untuk kebaikan anak-anak yatim,” katanya.
Bagi Tianna pula, remaja itu berkata dia sudah biasa melihat ibunya terlibat dalam kegiatan amal sejak kecil lagi.
“Sejak kecil, ibu selalu bantu orang-orang yang kurang berkemampuan. Kadang-kadang ibu bawa saya melawat mereka.
“Jadi, apabila diberi peluang untuk terlibat dalam projek ini, saya tahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.
_and_jessica_baking_cookies__full.jpg)
Tianna terlibat membuat anting-anting dan rantai kunci yang dipesan oleh pelanggan mereka. Sebanyak 110 anting-anting hasil buatan tangannya berjaya dijual ketika projek amal mereka baru bermula.
“Mula-mula, saya buat anting-anting dan muat naik di media sosial. Kemudian, kami fikir itu sahaja tidak cukup, jadi kami tambah biskut pula.
“Kawan-kawan beritahu semua orang yang mereka kenal - saudara-mara, ibu bapa, rakan dan jiran mereka. Usaha mereka berjaya, kerana kami berjaya jual 430 balang biskut.
“Selepas ambil pesanan, kami ke rumah Ong dan bakar biskut lapan jam sehari. Sehari kami dapat hasilkan 1,000 keping biskut. Memang penat sebab pesanan masuk tak berhenti-henti,” katanya.
Asalnya, ketiga-tiga remaja ini mensasarkan untuk mengumpul RM10,000 sebaik sahaja projek amal mereka dimulakan 1 Oktober lalu. Mereka sangat gembira apabila setakat 23 November lalu wang yang dikumpul berjaya melepasi sasaran.
“Kami gembira apabila mencapai sasaran.
“Ia satu pengalaman yang menyeronokkan dan merapatkan hubungan kami. Saya rasa kami perlu fikirkan matlamat dan cara baharu untuk membantu kejiranan kami,” kata Ong.
Pengasas Home of Peace, Justine Morais, berkata mereka amat bersyukur atas sumbangan komputer riba yang dihulurkan.
“Kami sangat berterima kasih kepada mereka. Sekarang, anak-anak kami tiada masalah siapkan kerja sekolah.” – 28 November, 2020.
Komen