Ahli Parlimen PKR kecewa diarah lulus Belanjawan 2021


Arahan oleh pemimpin pembangkang semalam bagi meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 amat mengecewakan banyak pihak, kata Nurul Izzah Anwar bersama Akmal Nasir dan Hassan Karim dalam satu kenyataan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

TIGA ahli Parlimen PKR kecewa dengan arahan di saat akhir dari ketua pembangkang yang juga pesiden parti itu, Anwar Ibrahim untuk membiarkan Belanjawan 2021 lulus peringkat dasar.

Akmal Nasir, Hassan Karim dan anak Anwar, Nurul Izzah berkata mereka kecewa kerana sudahpun bersedia untuk menolak belanjawan itu melalui undi belah bahagi.

Masing-masing merupakan ahli Parlimen Johor Bahru, Pasir Gudang dan Permatang Pauh.

“Arahan yang dikeluarkan semalam oleh pemimpin pembangkang bagi meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 amat mengecewakan banyak pihak.

“Kami sudahpun bersedia untuk menolak belanjawan tersebut sehinggalah arahan di minit akhir yang mengikat ahli parlimen PKR mengikut kepatuhan disiplin parti,” kata mereka.

Ia ditegaskan dalam satu kenyataan bersama oleh tiga wakil rakyat tersebut mengenai penubuhan Kaukus Reformasi Ekonomi, Sosial dan Kebajikan Parlimen.

Anwar semalam memberi arahan di saat akhir kepada pembangkang sewaktu usul dikemukakan bagi undian belah bahagi, menyebabkan belanjawan diluluskan di peringkat dasar.

Dalam satu kenyataan hari ini, ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau mengarahkan demikian untuk membolehkan pindaan rang undang-undang tersebut dikaji di peringkat jawatankuasa.

Beliau berkata masih ada peluang untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu akan datang.

Pendirian berkenaan bagaimanapun dikritik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang merupakan antara 13 wakil rakat di blok pembangkang yang mendesak undi belah bahagi semalam.

“Pada perbahasan Belanjawan 2021 semalam, kita dapati bukan sahaja parti Kerajaan yang sokong, tetapi sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang menyokong.”

Beliau hairan kerana pembangkang pada awalnya beriya-iya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin melalui undi tidak percaya tetapi ia tidak berlaku semalam.

“Tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak.

“Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.

“Tapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, dua kurang daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan diluluskan ...” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Dr Mahathir berkata ia menyebabkan beliau mengesyaki pembangkang sudahpun mendapat tawaran tertentu untuk menyokong kerajaan Muhyiddin.

“Jika benar bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada negara. Segala-gala boleh dibeli dengan duit, termasuk Kerajaan.

“Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh rampas kuasa dan terus memerintah negeri dan negara.

“Pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri,” katanya. – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen