Vaksin Covid-19 dijangka diperolehi awal 2020, kata PM


Malaysia akan memperolehi 12.8 juta dos vaksin Covid-19 untuk 6.4 juta orang. – Gambar AFP, 27 November, 2020.

VAKSIN Covid-19 dijangka dapat diperolehi awal 2020 jika ujian pada bulan depan menentukan ia selamat digunakan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan sudahpun menandatangani perjanjian dengan Pfizer untuk menyediakan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 yang dapat meliputi 6.4 juta rakyat Malaysia.

Jelasnya, ia membolehkan kerajaan mendapat data yang menjamin mutu, keselamatan serta keberkesanan vaksin tersebut, dan seterusnya memperolehi ubatan berkenaan sebaik ia disediakan.

Beliau juga memberi jaminan vaksin tersebut selamat digunakan sebelum program vaksinasi dapat dimulakan ke atas rakyat Malaysia.

“Pfizer pada 9 Nov lalu menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95%,” katanya.

Tambahnya, penghantaran vaksin tersebut dibuat secara berperingkat – 1 juta dos pada suku pertama 2020, 1.7 juta dos pada suku kedua, 5.8 juta pada suku ketiga dan 4.3 juta pada suku akhir.

Katanya lagi, vaksinasi akan dimulakan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu termasuk petugas baris hadapan, warga emas dan pesakit jantung, diabetes, dan pernafasan.

Ia akan dibekalkan percuma kepada semua rakyat Malaysia dan warga asing perlu menanggung bayaran.

Beliau juga berkata, ujian vaksin Covid-19 dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

Fasa ketiga ujian pula merupakan inisiatif kerajaan Malaysia, katanya.

“Ia akan melibatkan 3,000 peserta dan kita akan nilai keselamatan dan keberkesanan vaksin yang sedang dibangunkan,” katanya.

Menurutnya lagi, ia akan dijalankan oleh badan kajian klinikal tempatan berdaftar dan akan melibatkan lapan kawasan kajian yang diselia Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita di Putrajaya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen