Belanjawan 2021: Pembangkang elak jadi bahan cemuhan rakyat, kata penganalisis


Kamles Kumar

Blok pembangkang nampak tidak bersatu, menunjukkan strategi yang lemah dan tidak membayangkan wujud solidariti sesama mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

AHLI Parlimen pembangkang bimbang untuk mengundi menolak Belanjawan 2021 bagi mengelak kemarahan rakyat yang mungkin menganggap tindakan itu sebagai bertentangan dengan kebajikan mereka, kata beberapa penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight blok pembangkang nampak tidak bersatu, menunjukkan strategi yang lemah dan tidak membayangkan wujud solidariti sesama mereka.

Selebihnya, kebanyakan mereka juga nampak keliru mengenai peraturan ketika usul undi belah bahagi dibuat apabila kelihatan menganggap 13 ahli Parlimen sudah memadai untuk loceng undi belah bahagi dibunyikan dan undi mereka dikira, kata penganalisis.

Penentu utama untuk meluluskan cadangan belanjawan semalam bagaimanapun lebih banyak bergantung pada wakil rakyat Umno berbanding pembangkang, kata mereka.

Apabila tuntutan utama wakil rakyat Umno dipenuhi, logiknya mereka menyokong belanjawan itu, dan ia menyebabkan bantahan pembangkang tidak lagi bermakna.

Pensyarah politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kebimbangan utama Pakatan Harapan (PH) ialah kemarahan rakyat sekiranya mereka dilihat berpolitik di tengah pandemik.

“Ada keraguan bagaimana rakyat akan menanggapi tindakan mereka sekiranya mereka menolak cadangan belanjawan kerana ia nampak seolah-olah mengetepikan kebajikan rakyat,” katanya.

Awang Azman berkata PH juga nampak tidak teratur dan tidak berstrategi untuk mengundi belanjawan.

“Pada masa sama, ada parti dalam PH yang ada pandangan mereka sendiri. Mereka gagal mengatur dan nampak curiga sesama mereka,” katanya.

Beliau merujuk pada pertembungan antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Kebanyakan wakil rakyat PH terus juga duduk ketika Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bertanyakan sokongan untuk usul undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 pada peringkat dasar semalam.

Hanya 13 ahli Parlimen bangun termasuk Mahfuz Omar (Kubang Pasu) daripada Amanah yang memohon undian dibuat secara belah bahagi.

Mereka yang berdiri menyokong ialah semua empat ahli Parlimen bebas daripada Pejuang diketuai Dr Mahathir. Tiga lagi ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading)

Mereka disertai lima lagi dari Amanah iaitu Khalid Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Mohd Hatta Ramli (Lumut), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Hasanuddin Yunus (Hulu Langat).

Seorang ahli Parlimen DAP juga menyokong undi belah bahagi iaitu Mordi Bimol (Mas Gading), serta Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PKR) dan Baru Bian (Selangau-PSB).

Usul undi belah bahagi memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen.

Ahli sains politik Oh Ei Sun pula berkata PH tidak mengundi menolak belanjawan kerana penyokong kerajaan yang awal menolak sudah menyokongnya.

“Apabila tuntutan penyokong kerajaan pada dasarnya dipenuhi, logiknya mereka perlu menyokong belanjawan,” kata felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Sebelum pengundian, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan beberapa keputusan kerajaan yang memenuhi tuntutan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.

Beliau mengumumkan persetujuan kerajaan untuk melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank kepada semua golongan B40 dan peniaga kecil.

Kerajaan juga setuju untuk meluaskan kelayakan mengeluarkan simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua pencarum tabung itu yang terjejas akibat Covid-19.

Perunding politik Adib Zalkapli pula berkata belanjawan yang diluluskan pada peringkat dasar semalam adalah satu kemenangan moral untuk Perikatan Nasional (PN).

“Dengan kelulusan itu, PN boleh mendakwa mereka ada sokongan di Parlimen, sekurang-kurangnya buat masa ini, walaupun ia perlu meluluskannya pada peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga,” katanya.

Pengarah BowerGroupAsia menambah PH bagaimanapun ada peluang untuk menolak belanjawan pada peringkat seterusnya kerana undian semalam belum muktamad.

“Semasa perbahasan wakil rakyat pembangkang menentang cadangan belanjawan dan mempersoalkan keabsahan kerajaan.

“Dengan tidak mencabar undian suara, mereka hilang peluang untuk menunjukkan bantahan mereka kepada belanjawan. Tetapi mereka masih ada peluang yang sama pada peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga,” katanya.

Oh pula berpendapat undian yang akan dibuat bermula minggu depan mungkin tidak akan mengulangi corak undian semalam kerana suasana politik Malaysia yang cepat berubah.

Dewan Rakyat akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa mulai Isnin ini, apabila butiran cadangan kerajaan itu diperhalusi satu persatu.

Walaupun lulus pada peringkat dasar, cadangan kerajaan itu masih boleh ditolak apabila peruntukan bagi setiap kementerian diteliti dan dipersoalkan, termasuk secara undi belah bahagi. – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen