Agong hargai wakil rakyat sokong Belanjawan 2021


Yang di-Pertuan Agong menyatakan penghargaan kepada semua ahli parlimen yang menyatakan sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

YANG di-Pertuan Agong menyatakan penghargaan kepada semua ahli parlimen yang menyatakan sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar.

Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda melihat perkembangan itu menunjukkan wakil rakyat terbabit mendukung nasihat baginda pada 28 Oktober.

Baginda juga berpendapat kerana sokongan itu akan menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19, katanya.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ianya amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.”

Seterusnya baginda menyatakan keyakinan ke atas kerajaan Perikatan Nasional untuk memimpin negara, kata Ahmad Fadil.

Belanjawan sulung kerajaan Perikatan Nasional itu diluluskan di peringkat dasar hari ini selepas perbahasan selama 13 hari, dan seterusnya akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa.

Ia diluluskan apabila cadangan meminta undian secara belah bahagi tidak mendapat cukup sokongan seramai 15 wakil rakyat.

Penghargaan sama turut disuarakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menganggap sokongan berkenaan menunjukkan ahli Parlimen bersikap matang.

“Saya tersentuh dengan pendirian ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini, sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah (Yang di-Pertuan Agong pada 28 Oktober) ...”

Ia merujuk titah Al-Sultan Abdullah yang menggesa ahli politik mengetepikan perbalahan politik untuk membolehkan belanjawan itu diluluskan tanpa gangguan. – 26 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen