Putrajaya buka i-Sinar untuk semua, had pengeluaran naik RM10,000


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz mengumumkan i-Sinar dibuka kepada semua pencarum yang terjejas pendapatan dengan had pengeluaran RM10,000 Akaun 1. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

SKIM pengeluaran tunai i-Sinar dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dibuka kepada semua ahlinya yang terjejas akibat pandemik Covid-19, umum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

“Lapan juta ahli kini boleh mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP,” katanya ketika penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat Putrajaya selepas mendengar keluhan rakyat dan gesaan wakil rakyat supaya membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan caruman mereka.

“Kemudahan ini kini terbuka kepada semua ahli KWSP yang pendapatan terjejas tanpa mengira sama ada mereka hilang kerja atau pendapatan mereka dipotong,” kata Tengku Zafrul.

Pada 6 November lepas, kerajaan memutuskan hanya membenarkan pencarum yang terjejas dengan Covid-19 mengeluarkan sehingga RM6,000 daripada akaun mereka sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan.

Ia mencetuskan kemarahan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang mendesak pengeluaran dibuat sekali harung dan bukan berperingkat.

Tengku Zafrul berkata kebenaran pengeluaran carumah lebih tinggi daripada KWSP adalah soal “mencari keseimbangan antara memenuhi perbezaan keperluan ahli.”

“Pertamanya adalah untuk membenarkan pengeluaran bagi membantu keperluan semasa dan satu lagi adalah untuk memastikan dana persaraan mencukupi,” katanya.

Pada 6 November lalu, katanya, KWSP sudah membenarkan lebih 600,000 ahli mengeluarkan sehingga RM6,000 daripada Akaun 1 mereka.

“Ia kemudian diluaskan untuk meliputi 2 juta ahli yang kini boleh mengeluarkan RM9,000 hingga RM60,000 daripada Akaun 1.

“Selepas mendengar pelbagai pihak, kerajaan dengan ini mengumumkan yang program i-Sinar akan meliputi semua ahli yang terjejas pendapatan semasa pandemik. Mereka yang hanya boleh mengeluarkan sehingga RM9,000 sekarang dibenarkan untuk mengeluarkan RM10,000,” katanya.

Tambahnya, inisiatif itu akan melibatkan semua pekerja tanpa mengira sama ada mereka pekerja formal atau bekerja sendiri.

“Hanya sediakan bukti yang anda hilang kerja, gaji dipotong atau pemotongan kerja lebih masa atau elaun.”  – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen