PADA 8 November yang lalu, saya memperincikan tujuh soalan penting kepada YB Senator Menteri Pendidikan.
Tujuh soalan ini saya tanyakan sekali lagi ketika membuat perbahasan Belanjawan 2021 pada 16 November lalu.
Namun ketika membacakan teks penggulungan perbahasan beberapa hari lepas, YB Senator Menteri Pendidikan tidak mengendahkan soalan-soalan yang diutarakan.
Soalan itu membabitkan nasib pemegang taruh-pemegang taruh terbesar dalam sektor pendidikan seperti anak-anak dari keluarga miskin, pekerja kantin dan pengusaha bas sekolah. Kepedulian terhadap mereka amat diperlukan.
YB Senator Menteri Pendidikan tidak menjawab bagaimana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengatasi isu lebih dari 600,000 anak miskin dan B40 yang hari ini tidak mendapat bekalan makanan sihat Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akibat PKPB.
YB Senator Menteri Pendidikan tidak menjawab isu pengusaha kantin serta lebih dari 70,000 pekerja kantin yang terjejas akibat penutupan sekolah. Apakah 70,000 pekerja kantin ini tidak penting?
YB Senator Menteri Pendidikan tidak menjawab isu guru duka lara serta status pergerakan guru yang telah lama tersekat akibat PKP.
Bahkan YB Senator Menteri Kanan menjawab akan menyediakan hanya 150,000 laptop untuk kegunaan murid di 500 buah sekolah ketika mengulas isu ketiadaan peranti oleh hampir 37% pelajar di seluruh negara.
Bagaimana pula dengan lebih dari 1.7 juta murid lain di 9,723 sekolah yang lain?
Rakyat juga tidak dapat melihat dengan jelas pelan jangka panjang pendidikan anak-anak pasca-pandemik terutamanya bagi golongan “lost generation” yang saya dan juga rakan-rakan ahli Parlimen yang lain suarakan.
Saya membangkitkan isu ini kerana akhirnya jelas KPM tiada hala tuju dalam menangani isu Covid-19. YB Senator Menteri Pendidikan juga tidak menjawab pertanyaan saya adakah KPM telah melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh seperti ibu bapa dan kesatuan guru sebelum memutuskan sebarang keputusan penting yang melibatkan masa depan anak bangsa?
Saya juga telah menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian. Saya juga mencadangkan untuk didengar pendapat ibu bapa, kesatuan guru dan pemegang taruh yang lain.
Saya yakin kita boleh mencari titik tengah yang boleh mengimbangi isu keselamatan dan pendidikan sekiranya kita berlapang dada dan berani membuka ruang kerjasama tanpa mengira perbezaan politik.
Saya juga yakin ramai pihak di luar sana yang mahu tampil membantu.
Sehingga hari ini, tiada satu inisiatif pun dalam Belanjawan tersebut yang memberi impak kepada guru, murid mahupun ibu bapa.
Bahkan banyak peniaga yang terlibat dalam ekosistem pendidikan seperti peniaga kantin dan pengusaha bas tidak mendapat sebarang manfaat dalam belanjawan tersebut.
Maaf jika saya katakan, belanjawan yang dibentangkan ini bukanlah Belanjawan Covid-19. Nasib dan masa depan pendidikan masih kabur dan tidak menentu.
Semua isi ini perlu dipandang serius dan diambil peduli. Ini penting bagi memudahkan ahli Parlimen yang lain membuat keputusan untuk menyokong atau tidak ketika pengundian dijalankan kelak. – 26 November, 2020.
* Dr Maszlee Malik, ahli Parlimen Simpang Renggam.
Komen