Seorang lagi anggota PGA ditembak di sempadan


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG lagi anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) dilaporkan cedera ringan selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.15 petang tadi, Lans Koperal Muhammad Amirul Amir, 26, dari Kompeni B Batalion 3 PGA Bidor melecet di bahagian perut. 

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan kejadian itu.

“Dia dalam keadaan stabil. Moral anggota saya masih tinggi. Tetapi kekuatan tambahan daripada Komando 69 dalam perjalanan ke situ.

“Kereta perisai juga dalam perjalanan ke sempadan dari pangkalan Ulu Kinta, Perak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Hamid, anggota itu sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum tiba-tiba terkena tembakan.

Difahamkan, anggota terbabit mengalami kecederaan ringan pada perut berikutan peluru yang dipercayai dilepaskan dari arah negara jiran terkena baju kalis pelurunya.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan serangan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas anggota PGA selepas dua anggota PGA diserang di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi semalam itu, anggota PGA, Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Norihan Tari, parah terkena tembakan pada kanan perut. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen