Anggota PGA ditembak: Kerajaan perlu ketat kawalan sempadan, banteras penyeludupan


SAYA mengambil maklum dan kesal dengan kejadian bunuh melibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo tengah hari tadi.

Marilah bersama kita doakan Koperal Norihan a/l Tari yang cedera parah dan masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis segera pulih dan dapat berkhidmat seperti biasa.

Kejadian malang yang menimpa mereka berdua tidak boleh diterima. Daripada kenyataan Ketua Polis Negara sebelum ini, ia merupakan serangan ketiga yang dilakukan dalam tempoh dua minggu terakhir.

Ia menjadikan aktiviti penyeludupan di sempadan bukan sahaja mengancam ekonomi negara, tetapi kini melibatkan aktiviti jenayah berat.

Serangan ini mesti dikutuk dan dibanteras dengan segera dan secara menyeluruh.

Saya mengharapkan kerjasama lebih rapat antara pihak keselamatan dalam negeri Malaysia dan Thailand akan meningkatkan hubungan dua hala dan sumber yang diperlukan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan anggota keselamatan dan rakyat serta tindakan yang perlu - sama ada dari aspek dasar, program dan perbekalan - bagi memastikan aktiviti penyeludupan dibanteras segera dan menyeluruh.

Sementara pasukan keselamatan menjalankan tindakan wajar bagi menangani perkembangan semasa, saya juga berharap pihak media tidak terburu-buru dalam mengecam masyarakat Siam.

Masyarakat Siam telah lama menetap di Perlis dan menjadi warganegara yang sah. Mereka juga telah banyak menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan hidup setempat, khususnya di negeri Perlis.

Laporan yang bersifat stereotaip kepada masyarakat Siam mestilah dielakkan kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan. 
Di tengah pandemik Covid-19 ini, ramai di kalangan mereka telah bekerja keras lebih masa dalam usaha memastikan negara kita terhindar daripada kecelakaan yang lebih besar.

Marilah kita berdoa dan memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan hidup kita semua. – 25 November, 2020.


* Noor Amin Ahmad merupakan ahli Parlimen Kangar.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Terima kasih MP Noor Amin Ahmad yang menlindungi masyarakat siam di perlis dan Malaysia

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Vira Chen · Ulasan