Seorang lagi tentera Korea Utara melintasi DMZ


Kejadian berpaling tadah terbaru itu adalah yang keempat tentera Korea Utara melintasi DMZ tahun ini. – Gambar EPA, 21 Disember, 2017.

SEORANG tentera Korea Utara melarikan diri ke Selatan pada Khamis dengan melintasi Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan Semenanjung Korea itu, kata Kementerian Pertahanan Seoul.

Askar “berpangkat rendah” itu melintasi bahagian tengah kawasan itu, kata jurucakap tentera.

Ia berlaku sebulan selepas tindakan seorang tentera Korea Utara di Panmunjom yang melarikan diri penuh dramatik.

Dalam kejadian itu, anggota itu memandu laju melepasi kawasan penuh tentera untuk melintasi sempadan sambil ditembak anggota tentera Korea Utara. Dia ditembak sekurang-kurangnya empat kali.

Rakaman menunjukkan anggota tentera yang cedera itu diselamatkan oleh tentera Korea Selatan yang merangkak menghampiri sempadan pemisah bagi mengheretnya masuk ke kawasan Selatan.

Dia kini sedang dirawat di salah sebuah hospital di Korea Selatan.

Kejadian berpaling tadah terbaru itu adalah yang keempat tentera Korea Utara melintasi DMZ tahun ini.

Anggota tentera itu muncul di pondok pengawal Korea Selatan pada pagi Khamis ketika kabus tebal, lapor agensi berita Yonhap yang memetik laporan tentera.

Tiada tembakan dilepaskan dan pergerakan luar biasa tentera Korea Utara dikesan, katanya lagi,

Berbanding Panmunjom, sempadan DMZ sepanjang 4km yang lain dipenuhi kawat berduri dan periuk api menjadikan perjalanan melintasinya sangat merbahaya. – AFP, 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen