RATUSAN ribu kanak-kanak berdepan risiko terkena periuk api dan bahan letupan lain di Timur Ukraine, salah sebuah tempat paling padat dengan senjata itu di bumi, lapor PBB pada Khamis.
Konflik berdarah antara tentera Ukraine dan pemberontak disokong Rusia membahayakan lebih 220,000 kanak-kanak yang tinggal, bermain dan bersekolah di kawasan dipenuhi periuk api dan pelbagai bahan letupan lain, kata Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (Unicef).
“Tidak boleh diterima yang tempat di mana kanak-kanak boleh bermain dengan selamat empat tahun lalu kini dipenuhi dengan bahan letupan merbahaya,” kata Giovanna Barberis, wakil agensi itu di Ukraine.
“Semua pihak bertelegah perlu serta merta menghentikan penggunaan senjata merbahaya ini yang mencemarkan komuniti dan memberi risiko kecederaan dan kematian kepada kanak-kanak.”
Data yang tersedia sejak Januari sehingga November menunjukkan secara puratanya satu kes kematian kanak-kanak berlaku di kawasan Timur Ukraine setiap hari—sempadan sepanjang 500 kilometer yang memisahkan zon kediaman dan kawasan pertempuran, kata laporan itu lagi.
Periuk api serta bom hidup tak meletup adalah punca kematian kanak-kanak yang mencecah dua pertiga daripada keseluruhan kecederaan dan kematian sepanjang tempoh itu, lapor Unicef.
Agensi itu juga memberi amaran yang bahan letupan itu mewujudkan risiko kemusnahan kepada insfrastruktur penting seperti bekalan air, elektrik dan gas.
Unicef menggesa semua pihak bertelagah supaya komited kepada perjanjian genjatan senjata dan membenarkan aktiviti pembersihan periuk api dilakukan.
Lebih daripada 10,000 orang terbunuh dan 24,000 orang cedera sejak pemberontak pro-Rusia memulakan penentangan bersenjata pada April 2014.
Ukraine dan rakan sekutunya mendakwa Rusia menghantar tentera dan senjata melintasi sempadan menyebabkan konflik itu semakin buruk. – AFP, 21 Disember, 2017.
Komen