PKPB di Lembah Klang, restoran nasi kandar di Pulau Pinang terjejas kembali 


Zaim Ibrahim

Pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang kini tidak lagi menerima pengunjung daripada luar berikutan penguatkuasaan PKPB.– Gambar The Malaysian Insight, 29 November, 2020.

SEKATAN pergerakan membendung Covid-19 di Lembah Klang dirasai kesannya jauh sampai ke Pulau Pinang apabila pengusaha nasi kandar mengaku Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan perniagaan mereka merosot.

PKPB dikenakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Oktober, sebelum perintah sama diperluaskan hampir ke seluruh Semenanjung kecuali beberapa negeri sejak 9 November.

Beberapa pengusaha restoran memberitahu The Malaysian Insight, suasana perniagaan kini suram terutama pada hujung minggu, yang biasanya meriah dengan pelanggan dari luar Pulau Pinang yang sanggup beratur panjang untuk makan nasi kandar.

Restoran Hameediyah, yang diiktiraf perniagaan nasi kandar tertua di Malaysia, mengaku pendapatan mereka merosot lebih separuh sejak awal November sehingga terpaksa mengurangkan kos operasi untuk terus bertahan di tengah krisis Covid-19.

“Awak bayangkanlah, kalau sehari boleh dapat RM10,000, tapi sekarang dah turun 60 peratus. Mungkin orang nampak masih mampu, tapi macam kedai makan lain, kita pun ada banyak kos lain macam gaji pekerja, bahan mentah.

“Apabila PKPB di Kuala Lumpur dan Selangor, kesannya sangat jelas,” kata Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkoor, generasi ketujuh yang mengendalikan perniagaan keluarga sejak 1907 itu.

“Dulu hari minggu orang beratur sampai lima pintu kedai dari sini, sekarang kalau orang datang tak payah beratur lagi.

“Kami pun tutup satu lot kedai untuk jimat kos,” tambahnya, ketika ditemui di restorannya di Lebuh Campbell.

Hasil pendapatan restoran nasi kandar tertua di Malaysia, Restoran Hameediyah jatuh 60% sejak PKPB dikenakan di Lembah Klang. – Gambar The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

Restoran Hameediyah itu yang sebelum ini beroperasi di dua lot kedai kini hanya dibuka di satu lot kedai dua tingkat.

Selain sekatan perjalanan yang mengurangkan jumlah pelanggan, Ahamed Seeni berkata keadaan kesan ekonomi akibat Covid-19 juga menjejaskan perniagaan.

“Orang dari Pulau Pinang sendiri pun kurang… sebab Covid-19, ramai orang ada masalah kewangan. Ada yang kena potong gaji, ada yang dibuang bekerja. 

“Jadi kami pun terkesan. Kadang-kadang, ada bulan yang kami menghadapi kesukaran untuk bayar gaji pekerja dan kos operasi yang lain,” jelas beliau.

Untuk terus bertahan, Ahmad Seeni berkata pihaknya cuba mengubah suai jualan dengan menawarkan hidangan set nasi kandar pada harga RM6 sepinggan, yang diharapkan dapat menarik lebih ramai pelanggan.

Sementara itu, Mohamed Ali Amier yang mengusahakan Restoran Nasi Kandar Ali Amier di Jelutong mengaku perniagaannya merosot secara purata 40% sebulan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak lapan bulan lalu bermula 18 Mac.

Beliau biasa mendapat purata sehari RM3,000 tetapi pendapatan perniagaannya merosot sejak penguatkuasaan PKP, dan sejak PKPB di Lembah Klang lebih sebulan yang lalu, pendapatannya kini sekitar RM1,000 sehari.

“Bukan sahaja pelanggan tetap dari Kuala Lumpur atau negeri-negeri lain yang tidak datang, tapi pengunjung di kawasan berdekatan pun takut untuk keluar rumah.

“Kedai tutup 12 malam tapi pukul 9 malam, kedai dah kosong,” katanya.

Pemilik Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkor berkata, jika dahulu pada hari minggu orang ramai beratur hingga ke lima lot kedai tetapi kini tidak lagi. – Gambar The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

Ali berharap vaksin Covid-19 akan ditemui segera, tetapi sementara itu berharap kerajaan akan memberi galakan kepada rakyat supaya berbelanja untuk merancakkan ekonomi.

“Oleh sebab banyak pihak terjejas akibat Covid-19, kuasa membeli semakin kurang.

“Kerajaan perlu menggalakkan kempen supaya rakyat keluar membeli terutama barangan tempatan, kami juga perlukan kuasa membeli rakyat untuk kembali pulih,” tambahnya.

Putrajaya mengenakan PKPB hampir di seluruh Semenanjung selepas peningkatan mendadak kes Covid-19, yang kebanyakannya bermula dari jangkitan di Sabah pada hujung September.

PKPB dikuatkuasa di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 9 November hingga 6 Disember ini. Sejak Sabtu lalu, PKPB kekal di seluruh negara kecuali Melaka, Pahang, Terengganu serta sebahagian Kedah, Johor, dan Sarawak. Ia dikuatkuasakan di Kelantan sejak hujung minggu lalu.

Sejak hujung minggu lalu juga kerajaan melonggarkan pergerakan rentas negeri terhad melibatkan zon hijau iaitu kawasan yang tiada kes jangkitan Covid-19 yang aktif.

Sinar baharu depani cabaran ekonomi

Dalam pada itu, sekatan perjalanan rentas negeri menjadi punca rezeki bagi usahawan yang menyediakan perkhidmatan penghantaran nasi kandar dari Pulau Pinang ke Lembah Klang.

Perkhidmatan mereka bukan sahaja memenuhi selera peminat nasi kandar yang tidak dapat ke Pulau Pinang tetapi turut membantu pengusaha meningkatkan jualan.

Restoran Nasi Kandar Kampung Melayu di Ayer Itam, yang menggunakan perkhidmatan itu, mengaku dapat menjual sehingga 700 bungkus nasi sehari untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

Pengusahanya Zainab Bibi Mohamad berkata selepas PKP dilonggarkan, restoran kembali penuh dengan pengunjung dari luar Pulau Pinang terutamanya dari Lembah Klang pada setiap hujung minggu.

“Apabila kerajaan tiba-tiba umum PKPB, risau juga bisnes akan jatuh semula.

“Mujur sejak dua bulan lalu kita sudah guna perkhidmatan hantar makanan, jadi kita sudah ada pelanggar tetap. Sejak bulan ini, permintaan nasi kandar untuk ke Lembah Klang kian meningkat,” katanya, yang mengusahakan restoran itu bersama suaminya.

Zainab berkata pada masa ini pelanggannya kini hanya orang Pulau Pinang dan perniagaannya terjejas sehingga setengah. Beliau memberi contoh, kalau dahulu pendapatan sehari boleh cecah RM5,000 tetapi sekarang antara RM2,000 dan RM3,000 sahaja.

“Meriah pun makin kurang. Saya lebih suka pelanggan datang ke kedai… dapat makan nasi dengan lauk-pauk yang masih panas dan segar.

“Walaupun ada perkhidmatan hantar makanan, hati ini tetap mahu pelanggan-pelanggan kita datang dan nikmati makanan di kedai ini,” tambahnya. – 29 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen