‘Lubuk pondan’ Terengganu terus berleluasa


TAMPIL dengan berpakaian  seksi dan mendedahkan sebahagian besar tubuh “wanita”, sekumpulan pondan tanpa segan silu melakukan aktiviti pelacuran di sebuah flat di sekitar bandar ini.

Aktiviti yang dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu itu bukannya tidak pernah dibendung oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) tetapi ia bagaikan surut sebentar sahaja sebelum menyambung semula operasi.

Menerusi tinjauan Bernama, didapati bermula 10 malam hingga 2 pagi, kira-kira 20 lelaki yang bertingkah laku dan berpakaian wanita itu “menawarkan perkhidmatan”  mereka dengan diawasi seorang “penjaga” untuk meninjau kehadiran pihak berkuasa.

Pada waktu siang, suasana di flat tersebut kelihatan biasa sahaja, namun ketika malam menjelang tiba, golongan  pondan ini mula memenuhi beranda rumah dan menggunakan lampu laser berwarna-warni serta bunyian “istimewa” sebagai isyarat untuk menarik perhatian pelanggan.

Seorang daripada penghuni flat terbabit yang enggan dikenali, berkata kawasan tersebut memang terkenal dengan “lubuk pondan” sejak sekian lama, malah  kebanyakan penghuni yang telah berkeluarga  berpindah ke tempat lain ekoran tidak tahan serta bosan dengan kerenah pondan yang sentiasa mengganggu ketenteraman mereka.

“Dalam  tempoh 20 tahun ini, pondan-pondan di flat ini silih berganti dan kegiatan mereka ini acap kali diserbu  oleh pihak berkuasa tapi keadaan masih berterusan dan tidak dapat dibendung  sepenuhnya.

“Kegiatan tidak bermoral mereka memberi kesan negatif terhadap persekitaran setempat dan menunjukkan budaya tidak sihat kepada kanak-kanak dan remaja yang membesar di kawasan tersebut,” katanya.

Tinjauan wartawan dari 10 malam hingga 3 pagi itu turut menampakkan bagaimana pondan ini menawarkan perkhidmatan seks mereka dengan harga serendah RM30 hingga RM70 mengikut perkhidmatan yang diminta pelanggan.

Lebih daripada 10 buah kenderaan dilihat  memasuki kawasan tersebut untuk tawar-menawar dan mengambil  nombor telefon pondan yang mereka suka, semua ini dilakukan menerusi tanda isyarat yang dapat dilihat menerusi tingkap rumah.

Mereka yang berminat akan melakukan  pusingan kedua dengan merapati beranda paling hampir dengan tempat penginapan dan membawa pondan tersebut ke tempat lain ataupun melakukan aktiviti menjijikkan di flat terbabit sahaja.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Wan Mohd  Wan Ibrahim berkata  pihak penguatkuasaan syariah Jheat telah beberapa kali melakukan operasi bersepadu dan melakukan tangkapan.

Namun katanya, golongan pondan ini bagaikan tidak serik dan masih berterusan melakukan  aktiviti songsang dan tidak bermoral itu.

Tambahnya, pegawai dan anggota kini bukan sahaja menggunakan pendekatan tegas tetapi juga melakukan intipan dari semasa ke semasa serta mendekati golongan ini agar mampu memberi teguran secara ilmiah.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan Tugas-tugas  Khas Negeri, Ghazali Taib berkata kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan permasalahan tersebut dan sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan tegas.

Berikutan itu katanya, tindakan secara  bersepadu melibatkan semua agensi Jheat, Polis  Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan  bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

“Kita mengharapkan semua masyarakat untuk tampil membuat aduan di laman e-maksiat bagi membolehkan pihak berkuasa membanteras golongan ini.

“Kita juga minta kepada pemilik rumah agar tidak memberi sewa rumah kepada golongan pondan jika mengetahui mereka ini menjadikan rumah tersebut sebagai tempat membuat maksiat,” katanya ketika dihubungi Bernama. – Bernama, 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen