Kerajaan nak bantu syarikat perumahan atau tidak, tanya Mahfuz


Zaim Ibrahim

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata ia bukan saja memberi kesan kepada kakitangan syarikat itu tetapi juga pelan negara membangunkan perumahan untuk rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

NAIB Presiden Amanah Mahfuz Omar meminta Kementerian Kewangan menjelaskan sama ada akan membantu atau tidak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) setelah anak syarikatnya diarah membayar ganti rugi saman sebanyak RM90 juta, kata Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Pokok Sena berkata sekiranya kerajaan tidak campur tangan, ia bukan saja memberi kesan kepada kakitangan syarikat itu tetapi juga pelan negara membangunkan perumahan untuk rakyat.

“Saya nak tanya kepada pihak kementerian… bukan nak salahkan ahli lembaga pengarah syarikat, kerana mereka syarikat yang diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan.

“Ini tanggungjawab Menteri Kewangan,Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk langsaikan hutang tertunggak sebanyak RM90 juta.

“Apabila kerajaan gagal bayar hutang, jika syarikat yang tuntut itu buat tuntutan untuk membankrapkan SPNB, ini beri kesan buruk kepada kerajaan dan negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mahfuz merujuk penghakiman ingkar yang diperolehi Chimonief Sdn Bhd ke atas SPNB Aspirasi Sdn Bhd pada awal bulan ini. Mahkamah Tinggi Kota Bahru pada 27 Februari lalu memerintah ganti rugi RM90 juta dibayar kepada Chimonief, yang salinan penghakimannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Beliau yang juga naib presiden Amanah meminta Tengku Zafrul Aziz membuat penjelasan segera kerana perintah mahkamah itu telah keluar sejak awal tahun ini.

“Satu penjelasan perlu dibuat segera supaya SPNB tidak terumbang-ambing,” katanya.

Mahfuz sebelum ini membangkitkan perkara sama semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Katanya, pejabat SPNB Aspirasi di Kuala Lumpur sudah disita pada Mei lepas.

“Kalau Kementerian Kewangan tidak sedia untuk membayar, ini akan sebabkan akaun syarikat dibeku… sekarang pun pejabat telah disita dan tidak boleh bawa apa-apa barang keluar daripada pejabat,” katanya.

Mahfuz juga bimbang keadaan hutang itu akan menganggu projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sedang dibina untuk penjawat awam.

SPNB merupakan sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.

SPNB diletakkan di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 3 Ogos 2018. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen