Di Colombia, lebih 100 aktivis hak asasi dibunuh


Sehingga 20 Disember, sejumlah 105 pembunuh dilaporkan, kata PBB. 11 lagi kes sedang disahkan. – Gambar EPA, 21 Disember, 2017.

LEBIH daripada 100 aktivis hak asasi manusia dan hak pekerja dibunuh di Colombia tahun lepas, selepas perjanjian bersejarah antara kerajaan dan pemberontak FARC, kata Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Rabu.

Kematian itu berlaku di kawasan pendalaman kubu kuat FARC, tempat pihak berkuasa kerajaan tidak berada, kata Pesuruhjaya PBB untuk Hak Asasi dalam satu kenyataan.

Keseluruhannya sehingga 20 Disember, sejumlah 105 pembunuh dilaporkan, katanya. 11 lagi kes sedang disahkan.

Kerajaan Colombia yang mempunyai rekod berbeza tentang perkara itu menafikan wujudnya corak sistematik pembunuhan.

Di bawah perjanjian ditandatangani pada November 2016 itu, FARC- Tentera Bersenjata Revolusi Colombia- melakukan genjatan senjata dan menjadi parti politik sah.

Presiden Juan Manuel Santos berikrar akan melindungi pemberontak yang menyerah diri dan aktivis hak asasi.

Menteri Pertahanan Luis Carlos Villegas pada Ahad mengatakan “kebanyakan” pembunuhan berlaku kerana sengketa peribadi dan “perebutan sumber wang haram”.

Tetapi PBB meluahkan kebimbangan atas pembunuhan itu dan mengatakan perjuangan hak asasi menjadi motif pembunuhan. – 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen