IMF lulus pinjaman RM49 bilion kepada Mesir


Sejak Hosni Mubarak disingkirkan pada 2011 hasil kebangkitan rakyat, ekonomi negara Arab paling padat itu terjejas kerana ketidakstabilan politik dan isu keselamatan. – Gambar EPA, 21 Disember, 2017.

DANA Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam meluluskan pemberian ketiga daripada keseluruhan pinjaman berjumlah AS$12 bilion (RM49 bilion) untuk tempoh tiga tahun kepada Mesir menjadikan jumlah pinjaman yang diterima negara itu setakat ini lebih AS$6 bilion.

IMF meluluskan pemberian ketiga berjumlah AS$2 bilion itu di bawah perjanjian yang ditandatangani pada November 2016, selepas pasukan dana itu memuji usaha “berani” perubahan ekonomi dilaksanakan Kaherah.

Dalam usaha untuk mendapatkan pinjaman IMF, negara itu melakukan beberapa siri perubahan drastik termasuklah melaksanakan cukai nilai tambah, memotong susidi tenaga dan mengapungkan mata wangnya.

Tetapi IMF berkata negara itu masih perlu melakukan lebih banyak usaha.

“Situasi bagus, tetapi masih memerlukan usaha berterusan bagi mengekalkan dasar berjimat cermat dan perubahan struktur mendalam bagi menyokong matlamat jangka sederhana pihak berkuasa bagi meningkatkan pertumbuhan dan membentuk peluang pekerjaan,” kata David Lipton, pengarah urusan utama IMF.

Katanya “perubahan subsidi tenaga sangat kritikal untuk mencapai matlamat program fiskal” dan mengurangkan hutang kerajaan di masa depan.

Pihak berkuasa juga perlu melaksanakan perubahan cukai dan memodenkan pentadbiran cukai dan kastam bagi menggalakkan pelaburan di bidang lain.

Sejak Hosni Mubarak disingkirkan pada 2011 hasil kebangkitan rakyat, ekonomi negara Arab paling padat itu terjejas kerana ketidakstabilan politik dan isu keselamatan.

IMF mengatakan ekonomi Mesir dijangka bertumbuh pada kadar 4.2% tahun ini, melepasi anggaran awal, kadar inflasi yang mencecah 33% pada Ogos pula makin menurun dan dijangka berada pada kadar 13% menjelang akhir tahun 2018. – AFP, 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen