Muhyiddin perlu undur jika Belanjawan 2021 ditolak, kata ahli Parlimen PAS


Zaim Ibrahim

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan jika Belanjawan 2021 tidak lulus, kata ahli Parlimen PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

MUHYIDDIN Yassin perlu meletak jawatan perdana menteri jika gagal mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk meluluskan Belanjawan 2021, kata ahli Parlimen PAS.

Ahmad Fadli Shaari berkata, ia merupakan antara tindakan yang perlu diambil sekiranya belanjawan itu tidak dapat diluluskan semasa undian belah bahagi pada Khamis.

Selain itu, Muhyyiddin juga boleh memohon untuk membubarkan Parlimen dan memohon semula untuk mengisytiharkan darurat mengelak pilihan raya umum diadakan sewaktu pandemik, katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian berdasarkan penilaiannya bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin waktu ini sukar mendapat sokongan majoriti.

“Perdana Menteri ada dua pilihan iaitu menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk memohon bubar Parlimen. Kedua, Perdana Menteri letak jawatan dan seluruh kabinet juga letak jawatan.

“Atau pilihan ketiga yang tidak popular, mengisytiharkan darurat tapi sangat tidak baik pada pandangan rakyat,” jelas beliau.

Jelasnya, beliau melihat Muhyiddin sukar mendapat majoriti tersebut sekiranya rundingan tidak berlangsung dengan baik, katanya.

“Saya tak dapat nak buat jangkaan, ia sangat bergantung kepada bagaimana kerajaan berunding dengan pemegang-pemegang taruh.

“Saya kira tidak mustahil belanjawan ini tidak dapat diluluskan berdasarkan pemerhatian saya tetapi saya berdoa bajet ini lulus.

“Walaupun belanjawan pernah tidak diluluskan pada tahun 1999, ia boleh menyebabkan satu kekangan untuk membuat perbelanjaan yang lebih bebas,” kata beliau.

Muhyiddin Yassin bukan sahaja perlu berdepan Dr Mahathir Mohamad di Parlimen, beliau juga perlu menangani cabaran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini sedang menggerakkan rundingan dengan semua parti bagi membolehkan belanjawan sulung yang dibentangkan pentadbiran Muhyiddin itu diluluskan.

Beberapa parti pembangkang menetapkan syarat untuk menyokong sekiranya peruntukan yang tidak perlu seperti RM85.5 juta kepada agensi propaganda Jasa dibatalkan.

Parti dalam gabungan PN juga mengancam untuk menarik sokongan dan beberapa ahli Dewan Rakyat dari parti itu sudahpun memfailkan usul tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Pemimpin Umno, termasuk Presidennya Ahmad Zahid Hamidi kini lantang menggesa agar ujian dijalankan terlebih dahulu untuk menentukan majoriti sokongan ke atas Muhyiddin.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah juga enggan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selagi majoriti dikuasai Muhyiddin tidak dijelaskan terlebih dahulu.

Wakil rakyat parti itu juga mahu pindaan terutamanya dalam isu lanjutan moratorium dan pengeluaran simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sekurang-kurangnya 25 usul tidak percaya dan dua usul percaya difailkan di Dewan Rakyat, namun masih dihalang oleh speaker.

Mengulas perkara itu, Ahmad Fahdli berkata beliau tetap berharap belanjawan itu dapat diluluskan untuk memastikan peruntukan bagi menangani pandemik Covid-19 dapat disalurkan.

Beliau bercakap dalam satu temubual Belanjawan 2021 bersama penganalisis ekonomi, Dr Muhammad Abdul Khalid yang disiarkan secara langsung di Facebook pada malam tadi. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tajuk berita ini mengelirukan. Tajuk itu bawa erti Fadhli Shaari minta PM lepas jawatan. Walhal dia tidak kata begitu. Dia sebut beberapa senario. Mohon perbetulkan untuk kredibliti The Malaysian Insight terjaga. Terima kasih.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Mohd Shukri Hajinoor · Ulasan

  • Tajuk berita ini mengelirukan. Tajuk itu bawa erti Fadhli Shaari minta PM lepas jawatan. Walhal dia tidak kata begitu. Dia sebut beberapa senario. Mohon perbetulkan untuk kredibliti The Malaysian Insight terjaga. Terima kasih.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Mohd Shukri Hajinoor · Ulasan