.jpg)
JIKA disorot kembali keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang dianggap sebagai “tsunami politik” negara, Negeri Sembilan tidak terlepas daripada terkena tempias tsunami terbabit.
Dalam pilihan raya tersebut, buat pertama kali dalam sejarah, Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya menang 21 kerusi. Parti-parti pembangkang seperti DAP menang 10 kerusi, PKR mendapat 4 kerusi, dan PAS berjaya memenangi kerusi pertama di negeri tersebut iaitu di DUN Paroi.
Maka tidak hairanlah sebahagian penganalisis politik berpendapat, parti-parti pembangkang yang pada ketika itu dikenali Pakatan Rakyat berpeluang besar untuk merampas Negeri Sembilan dalam PRU13 daripada BN, namun perkara tersebut tidak berlaku.
Walaupun BN masih gagal menangi majorit dua pertiga di DUN namun prestasi mereka sedikit meningkat daripada pilihan raya sebelumnya. BN berjaya memenangi 22 kerusi DUN termasuk berjaya merampas kerusi Ampangan daripada PKR dan Paroi daripada PAS. BN bagaimanapun hilang kerusi Chennah kepada DAP. Dalam pilihan raya tersebut, DAP mendapat 11 kerusi, PKR memperoleh 3 kerusi, dan PAS gagal menang sebarang kerusi.
Menjelang PRU14, Negeri Sembilan sekali lagi menjadi negeri tumpuan parti pembangkang untuk merampas kepimpinan kerajaan negeri daripada BN.
Asasnya cukup mudah iaitu BN masih lagi tidak mempunyai majoriti dua pertiga di negeri ini yang memperlihatkan wujudnya peluang yang besar kepada parti pembangkang untuk menang.
Selain Negeri Sembilan yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di DUN, BN juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Kedah, Perak, Johor, dan Terengganu.
Namun, persoalannya benarkah parti pembangkang ada peluang besar untuk menang PRU14 di Negeri Sembilan walaupun BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di negeri itu? Bolehkah parti pembangkang di Negeri Sembilan mendapatkan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan?
Penulis berhujah, jika PRU 14 dilaksanakan pada masa terdekat, BN masih lagi boleh memerintah Negeri Sembilan walaupun tanpa dua pertiga majoriti sebelum ini.
Mengapa?
Ada tiga asas utama yang menunjukkan BN masih lagi kukuh di Negeri Sembilan dan mampu memenangi PRU akan datang, berdasarkan tinjauan dan kajian di beberapa DUN Negeri Sembilan yang meliputi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Tiga asas tersebut ialah kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan, kelemahan parti pembangkang, dan pengaruh BN yang masih kukuh di kawasan luar bandar.
Kepimpinan Mohamad Bin Hassan
Tidak dinafikan Mohamad Hassan merupakan pemimpin politik paling popular di Negeri Sembilan, mengatasi Khairy Jamaluddin yang lebih popular di peringkat persekutuan.
Gaya kepimpinan beliau yang mudah mendekati orang awam dan bersahaja, di samping loghat Nogorinya, menyebabkan kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan selesa dengan kepimpinannya khususnya di luar bandar.
Beliau juga tokoh yang banyak membawa pembangunan dan pembaharuan di Negeri Sembilan berbanding menteri besar sebelumnya.
Selain itu, beliau juga tidak mempunyai isu-isu besar sama ada isu peribadi dan kepimpinan yang boleh dipertikaikan.
Justeru itu, kepimpinan Mohamad Hassan di Negeri Sembilan dilihat stabil walaupun BN masih sukar untuk mendapatkan majoriti dua pertiga kerana kehilangan sokongan masyarakat Cina.
Jika beliau tidak lagi dilantik sebagai menteri besar dan dipindahkan menjadi menteri di peringkat pusat, BN mungkin menghadapi masalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Karisma Mohamad Hassan inilah yang gagal disaingi oleh mana-mana pemimpin politik parti pembangkang sama ada parti PKR, Amanah, PAS, atau Bersatu.
Pemimpin politik parti pembangkang seperti Aminuddin Harun daripada PKR, Zulkefley Mohammed Omar daripada Amanah, Mustafa Daharun daripada PAS, atau Kamarulzaman Kamdias daripada Bersatu masih belum mampu mengggugat karisma Mohamad Hassan.
Mereka mungkin popular hanya di peringkat parti sahaja dan bukan di peringkat masyarakat Negeri Sembilan secara keseluruhannya. Selain itu, pemimpin-pemimpin muda dalam parti tersebut juga gagal menyerlah dan terkehadapan yang boleh diangkat untuk mewakili suara anak muda.
Jika dilihat DAP pula, pemimpin-pemimpin mereka amat popular dalam masayarakat komuniti Cina. Tambahan pula, pemimpin muda mereka lebih mendominasi berbanding pemimpin-pemimpin senior DAP.
Jika parti pembangkang ingin menguasai Wisma Negeri, parti pembangkang seperti PKR, Amanah, PAS, atau Bersatu perlu mengemukakan calon Menteri Besar yang lebih berkarisma berbanding Mohamad Hassan.
Kelemahan parti pembangkang
Parti pembangkang di Negeri Sembilan juga dilihat lemah berbanding parti-parti pembangkang di negeri-negeri lain.
Antara kelemahan utama parti pembangkang di Negeri Sembilan ialah mereka gagal mengangkat dan membangkitkan isu negeri yang lebih responsif. Mereka hanya bergantung pada kekuatan isu nasional untuk menarik sokongan pengundi.
Selain itu, parti pembangkang juga menghadapi masalah dalam aspek jentera pilihan raya sama ada Pakatan Harapan mahupun PAS. Jentera mereka lebih kecil berbanding jentera pilihan raya BN khususnya di kawasan luar bandar.
Ini menyebabkan parti pembangkang gagal menyampaikan kempen dan maklumat yang berkesan khususnya di kawasan luar bandar seperti yang berlaku dalam PRU13.
Oleh kerana itu, kekuatan jentera parti pembangkang hanya dilihat tertumpu kepada kawasan bandar dan pinggir bandar.
Kelemahan yang utama dilihat oleh parti pembangkang di Negeri Sembilan juga ialah kurangnya program dan aktiviti yang dijalankan secara kelompok di luar bandar. Program-program lazim seperti ceramah dan ziarah rumah ke rumah hanya dilihat aktif menjelang pilihan raya — berbeza dengan DAP, yang dilihat lebih terkehadapan dalam mengadakan program-program tersebut di kawasan mereka namun parti-parti yang lain masih lagi ketinggalan.
Faktor dana atau wang merupakan antara sebab utama program parti pembangkang di Negeri Sembilan masih lagi berada pada tahap pasif.
Perkara inilah yang perlu diatasi oleh parti pembangkang di Negeri Sembilan sekiranya mereka masih bercita-cita menjadi ‘government in waiting’ di negeri tersebut.
Pengaruh BN di luar bandar
Daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, 21 kerusi daripadanya ialah kerusi luar bandar, 6 kawasan pinggir bandar dan selebihnya bandar. 8 daripada 21 kerusi luar bandar di Negeri Sembilan merupakan kerusi yang mempunyai tanah rancangan Felda.
Jumlah kerusi luar bandar yang besar memperlihatkan bahawa mana-mana parti yang ingin menguasai Negeri Sembilan perlu memenangi beberapa kerusi luar bandar.
Kegagalan parti pembangkang untuk menguasai kerusi luar bandar dalam PRU yang lalu menyebabkan mereka masih gagal merampas kerajaan negeri daripada BN.
Menjelang PRU14, tidak ada tanda-tanda wujudnya perubahan yang signifikan terhadap pengundi luar bandar di Negeri Sembilan termasuklah kawasan Felda.
Pengaruh BN masih lagi kukuh di luar bandar dan mereka masih percaya hanya BN sahaja yang mampu membela nasib mereka berbanding parti yang lain.
Sentimen negatif terhadap DAP juga masih kuat di kawasan tersebut dan mereka percaya jika parti pembangkang menang dalam pilihan raya, DAP dan kaum Cina akan menguasai Negeri Sembilan dan Malaysia.
Kegagalan parti pembangkang menangkis persepsi tersebut mengakibatkan sentimen itu masih kekal dalam kalangan pengundi di luar bandar yang majoritinya pengundi kaum Melayu.
Kesimpulannya, walaupun BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga dan jumlah perbezaan kerusi yang kecil dengan parti pembangkang di Negeri Sembilan dalam dua pilihan raya yang lalu, jika PRU 14 dilaksanakan dalam tempoh terdekat BN masih lagi kekal memerintah Negeri Sembilan.
Walaupun isu nasional juga boleh menentukan faktor kemenangan sesebuah parti politik, namun di Negeri Sembilan setakat ini ia hanya memberikan kesan di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Tidak dinafikan, keadaan dan situasi saat akhir menjelang pilihan raya umum akan datang juga boleh menghasilkan keputusan luar jangka. – 21 Disember, 2017.
* Mohd Izzuddin Nazaruddin, Koordinator Wacana Anak Muda Negeri Sembilan (WACANA) dan sedang menyambung pelajaran Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik di salah sebuah universiti awam dalam negara.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen