Agen pekerja asing terlibat sindiket seludup orang, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGEN pekerja asing yang ditangkap dalam Ops Selat, yang membongkar sindiket rasuah melibatkan cop palsu keluar dan masuk di sempadan negara baru-baru ini, dikesan anggota sindiket penyeludupan migran antarabangsa, kata sumber.

Malah seorang daripada 12 agen yang ditahan ada dalam senarai orang yang dikehendaki oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Dia dikehendaki dalam tiga kes polis berkaitan kes samun curi kenderaan dan konspirasi dalam jenayah bersindiket termasuk pelacuran di kalangan warga China,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suspek juga terlibat menyimpan empat kereta mewah jenis Rolls Royce Phantom, Mustang, Audi dan Range Rover milik bersama seorang pembantu penguatkuasa Imigresen Gred KP19.

Menurut sumber, siasatan awal berdasarkan semakan rekod dengan PDRM, anggota imigresen Gred KP19 itu juga mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes samun dan curi kenderaan. 

“Anggota imigresen itu adalah ahli sindiket bagi kumpulan mencuri kenderaan dan samun berkumpulan yang diketuai ejen terbabit. Anggota itu juga dikatakan terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.

“Bagaimana seseorang yang mempunyai rekod jenayah lampau boleh dilantik ke jawatan perkhidmatan awam,” soal sumber.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya kegiatan jenayah anggota itu berterusan kerana penglibatan dan hubungannya dengan kumpulan jenayah sebelum menyertai Imigresen.

Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan agensi anti rasuah sehingga hari ini berjaya menahan 56 orang untuk membantu siasatan.

Mereka terdiri 34 pegawai Imigresen, 12 agen dan 10 orang awam.

“10 orang awam yang ditahan merupakan keldai akaun yang mana akaun-akaun bank mereka digunakan untuk menyimpan wang rasuah yang dikutip,” kata Norazlan.

Menurutnya, SPRM akan mengambil tindakan yang tegas terhadap agen pekerja asing ini. 

“SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan polis untuk memastikan tindakan siasatan dijalankan menerusi peruntukan undang-undang,” katanya.

SPRM sebelum ini mendedahkan lebih 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diberikan kepada kakitangan Imigresen dalam tempoh empat tahun.

Ia terbongkar selepas 27 pegawai Imigresen yang ditahan mendedahkan aktiviti rasuah sindiket rasuah dalam urusan di kaunter sempadan negara sejak 2017. – 23 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen