Jejas ekonomi, Putrajaya tolak PKP dilaksana di Selangor, kata KP kesihatan


Noel Achariam

KP kesihatan berkata bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk menolak PKP dilaksanakan di Selangor ekoran kos tinggi yang akan ditanggung kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2020.

SELANGOR sepatutnya diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  pada bulan Oktober susulan kes Covid-19 yang meningkat di negeri itu. Namun rancangan itu ditolak kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk menolak PKP dilaksanakan di Selangor ekoran kos tinggi yang akan ditanggung kerajaan.

“Kami kemudian memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

“Pelaksanaan PKP akan memberi kesan kepada negara kerana 40 peratus ekonomi negara berada di Selangor,” katanya semasa taklimat khas berhubung Covid-19 di Putrajaya.

Selangor mencatatkan 402 kes Covid-19 hari ini, jumlah tersebut lebih tinggi dari Sabah yang mempunyai 346 kes baharu. 

Dr Noor Hisham berkata bahawa di Sabah pasukan kesihatan dapat menyaring mereka yang akan kembali dan menempatkan mereka di pusat kuarantin namun hal ini sukar dilaksanakan di Selangor.

“Di Selangor kita tidak boleh menyekat pergerakan mereka atau menyaring semua orang yang masuk dan keluar dari negeri ini dan melakukan kuarantin.

“Apa yang perlu mereka lakukan bagi membendung penularan adalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).”

Berhubung gelombang ketiga wabak itu, Dr Noor Hisham berkata bahawa mereka dapat mengurangkan kes-kes tersebut sekiranya rakyat mematuhi SOP.

“Sekiranya semua mematuhi SOP maka kita tidak perlukan PKPB. Tetapi, jika 90% patuh dan 10% lagi tidak, maka akan ada lebih banyak masalah,” katanya. – 21 November, 2020.
 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen