Pekerja bank multinasional dipecat kerana penyumberluaran, kata kesatuan


Setiausaha Agung Nube J Solomon menggesa bank berkenaan disiasat untuk mengelakkan ramai kakitangan tempatan hilang pekerjaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2020.

KESATUAN Pekerja Bank Nasional (Nube) mendakwa sebuah bank multinasional menjalankan penyumberluaran tenaga kerja sehingga menjejaskan pekerja tempatan.

Bank yang tidak dinamakan itu didakwa menetapkan syarat ketat yang menyukarkan pekerja Malaysia bekerja, kata kesatuan itu.

Setiausaha Agung Nube J Solomon menggesa bank berkenaan disiasat untuk mengelakkan ramai kakitangan tempatan hilang pekerjaan.

“Bank yang berpengkalan di UK itu melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan ini ketika pandemik Covid-19 menular, dan ketika pekerja berusaha mengekalkan pekerjaan dan mata pencarian untuk menyara keluarga.

“Tindakan bank tersebut, jika tidak disiasat oleh pihak berkuasa akan menyebabkan ramai pekerja, yang kebanyakannya juruwang dan perkeranian diberhentikan dalam beberapa bulan akan datang,” kata Solomon dalam satu kenyataan.

Nube katanya, telah memfailkan 12 kes mengenai ahli yang kebanyakannya terdiri dari golongan B40 dan M40, yang dipecat sewenang-wenangnya.

Solomon berkata ahli Nube di bank tersebut dimaklumkan banyak tugas pekerja Malaysia diambil alih pekerja asing di negara ini serta negara lain seperti India dan Sri Lanka untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keuntungan. – 21 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen