PKR bimbang penduduk tiada pelan kecemasan jika empangan Bengoh pecah


Desmond Davidson

Pengerusi PKR Puncak Borneo Willie Monggin sebelum ini mendedahkan kepada media berhubung resapan pada permukaan dinding empangan Bengoh.– Gambar The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.

ANTARA 2,000 hingga 6,000 orang beberapa perkampungan di hilir empangan Bengoh diancam bahaya sekiranya struktur itu pecah, kata pemimpin PKR tempatan Willie Monggin yang menggesa pihak berkuasa negeri mendedahkan pelan kecemasan empangan (ERP).

Selepas usul tergempar untuk membincangkan keselamatan empangan ditolak di sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak bulan lalu, Monggin yang merupakan pengerusi PKR Puncak Borneo memberi amaran bahawa kampung berkenaan boleh “dihanyutkan tsunami sungai” sekiranya dinding penahan empangan itu pecah. 

Antaranya perkampungan Bidayuh Bengoh yang terletak hanya 2.2 kilometer dari empangan berkenaan yang dihuni kira-kira 700 penduduk. Perkampungan lain di sepanjang Sungai Sarawak Kiri juga dalam bahaya.

Monggin berkata, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar empangan berkenaan, yang turut membawa laporan penilaian risiko dalam kegagalan empangan, menyebut bahawa penduduk Kampung Bengoh hanya mempunyai “antara 15 hingga 20 minit” untuk melarikan diri, dan menambah mereka diberi amaran awal.

Bagaimanapun, kementerian utiliti awam negeri masih tidak mempunyai ERP, kata Monggin pada sidang media hari ini. Beliau merupakan orang pertama yang menemui resapan air di empangan berkenaan dan mendedahkan perkara itu kepada media bulan lalu. 

Monggin berkata, laporan EIA, yang tidak pernah didedahkan kepada umum, menyatakan kawasan impak pertama adalah jambatan Sungai Semadang pada pertemuan Sungai Semadang dan Sungai Bengoh dan ia akan terkesan dalam tempoh 10 minit.

“Jambatan dan rumah di tepi sungai berkenaan mungkin akan dihanyutkan kerana kuasa aliran air,” menurut laporan itu. 

Kawasan seterusnya yang akan menerima impak adalah Kampung Bengoh. 

“Di sini, impak akan menyebabkan rumah-rumah di tepi sungai dihanyutkan. Kawasan itu akan menerima impak dalam masa 15-20 minit selepas empangan pecah,” menurut laporan berkenaan. 

Kampung di kawasan hilir empangan boleh

Laporan itu turut menyatakan kawasan di sepanjang Sungai Sarawak Kiri di hiir Kampung Bengoh juga akan terjejas “pada paras rendah” berikutan “kurang topografi berbukit” dan dataran sungai menjadi luas. 

Terdapat 13 kampung di kawasan ini - Kampung Danu, Kampung Puruh Semadang, Kampung Boyan, Kampung Giam, Kampung Git, Kampung Landeh, Kampung Sebu, Kampung Lubok Boyak, Kampung Skunyit, Kampung Pluntan dan Kampung Rembus.

Laporan itu menyatakan bandar Kuching, yang terletak 31 kilometer dari empangan berkenaan akan mengalami banjir dan air dari empangan itu boleh mencapai bandar berkenaan dalam masa sejam. Impak yang akan berlaku di Kuching adalah banjir di kedua-dua belah tebing Sungai Sarawak dan kawasan bandar serta kawasan sekitar. 

Monggin berkata kerajaan negeri perlu dedahkan ERP kepada penduduk kampung, lebih-lebih lagi Sarawak menerima hujan yang lebih lebat daripada biasa pada masa ini.

Media bula lalu melaporkan pendedahan Monggin mengenai “resapan” di empangan berkenaan dan berita itu dilaporkan oleh media tempatan Sarawak. 

Ia menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang, See Chee How, membawa usul tergempar pada sidang Dun 15 November lalu, namun ditolak oleh Speaker Amar Mohd Asfia Awang Nassar yang berkata menteri utiliti negeri sudah memberikan jaminan empangan itu selamat.

Monggin hari ini berkata, kerja-kerja berikutan resapan itu masih belum dijalankan kerana pengendali empangan berdepan masalah kekurangan paras air untuk memulakan kerja berkenaan. 

“Menteri (Menteri Utiliti Awam Dr Stephen Rundi Utom) sudah memberi jaminan empangaan itu selamat, namun ia tidak bermakna ERP tidak diperlukan di kawasan itu. 

“Kementerian utiliti awam perlu menddedahkan ERP kepada penduduk kampung yang tinggal di hilir dan hulu empangan berkenaan,” katanya hari ini. 

Monggin mendakwa, sistem siren kecemasan yang dijanjikan lebih setahun lalu masih belum dipasang. 

Sesi dialog untuk memberi taklimat kepada ketua kampung bulaan lalu tidak menyatakan tentang ERP, dan tambahnya alasan yang diberikan adalah jurutera yang menguruskan empangan itu tidak hadir. 

Empangan bernilai RM310 juta yang siap pada 2010 digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk loji rawatan air Batu Kitang yang membekalkan air terawat kepada pengguna di Kuching dan Kota Samarahan. Ia mempunyai kapasiti pengekalan 144.1 juta kubik meter air. – 20 Disember, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen