GARIS panduan baharu menyekat jualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka bertujuan mengawal jualan dan pengambilannya, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Jualan tersebut meliputi arak jenis liquor dengan peratusan alkohol tinggi dan tidak melibatkan jualan bir, menurut Pengerusi Lembaga Eksais DBKL, Lau Beng Wei.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan panduan baharu Lesen Minuman Keras (LMK) yang akan berkuatkuasa Oktober tahun depan, lapor Malaysiakini.
“... (Ia juga bagi mengawal) keselamatan, kesihatan dan kesenangan warga kota di samping menjadikan penjualan liquor berkualiti secara tersusun dari segi lokasi, jenis premis dan masa penjualan,” katanya.
Jelas Lau, kedai runcit dan serbaneka terbabit masih boleh menjual bir tertakluk kepada syarat seperti masa jualan, ruang penjualan dan had umur pembeli.
Arak dengan peratusan alkohol tinggi hanya oleh dijual di pub, bar, lounge dan restoran yang termasuk dalam kategori Rumah Awam Kelas 1 dalam LMK, katanya.
Liquor tulen atau campuran untuk ubatan tradisional yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga masih boleh dijual di kedai ubat Cina, kata Lau.
“Walau bagaimanapun sekiranya kedai ubatan Cina ingin menjual jenis liquor yang lain, boleh memohon kebenaran melalui KKM dengan justifikasi jualan dan DBKL tiada halangan sekiranya KKM mengesahkan jenis liquor tersebut.
“Selain daripada itu, LMK sementara boleh dikeluarkan bagi aktiviti promosi atau acara yang menghidangkan bir atau liquor dan juga di musim perayaan,” katanya.
Garis panduan tersebut yang diumumkan DBKL pada 16 November lalu merupakan salah satu tindakan kerajaan Perikatan Nasional menangani kes pemandu mabuk.
Ia merupakan antara Cadangan Pembangunan Polisi Penyalahgunaan Alkohol Kebangsaan dikemukakan Pemuda Pas kepada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada Jun lalu. – 20 November, 2020.
Komen