Kerusi cukup untuk dikongsi Umno, PAS, dan Bersatu, kata Annuar


Mohd Farhan Darwis

Umno, PAS dan Bersatu cukup kerusi Parlimen untuk bergabung menjadi blok politik Melayu Islam yang kuat, kata Annuar Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

JUMLAH kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu dan Islam di Semenanjung cukup untuk dikongsi Umno dengan PAS dan Bersatu, kata Annuar Musa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, bilangan 157 kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam itu juga boleh dikongsi dengan parti Bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

“Umno, PAS, dan Bersatu mesti bermuafakat, kerusi majoriti Melayu, Islam ada 157, cukup kongsi semua termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sarawak mungkin ada 30 hingga 31 kerusi.

“Semenanjung ada 120 lebih kerusi untuk dikongsi antara Umno, PAS, dan Bersatu, carilah formula… bermuafakat,” kata setiausaha agung bersama Muafakat Nasional (MN) itu.

Annuar yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata, gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) juga hanya perlukan 20 hingga 25 kerusi lagi untuk kekal menguasai kerajaan.

Ia tambahan kepada 113 yang dikuasai pada masa ini, katanya.

“Sekarang ada 113 kerusi pastikan menang, kita pertahankan. Nak cari lagi dapatkan 20 hingga 25 lagi kerusi… Untuk dapat 140 hingga 145 kerusi, tak mustahil… Dengan syarat kita bersatu.”

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Umno perlu bermuafakat dengan parti lain kerana parti Melayu itu tidak mampu bergerak sendirian untuk memenangi pilihan raya.

Mereka boleh memilih untuk bekerjasama dengan PAS sahaja dalam MN, namun parti Islam itu katanya, menegaskan Bersatu harus bersama mereka.

“Dalam kajian kita Umno dan PAS ada kekuatan sendiri dan boleh menang tetapi tanya PAS, adakah boleh Umno dan PAS tinggalkan Bersatu?

“Saya dah tanya, malam tadi ada mesyuarat MN. Pendirian PAS jelas, apa motto PAS? Perkasakan PN pertahan MN, jadi pilihan itu tak wujud.

“PAS bukan sahaja lagi pertahankan PN, dia ahli PN,” kata Annuar yang menjelaskan tekad itu menunjukkan parti tersebut tidak akan meninggalkan Bersatu dan Umno.

Tambahnya, beliau bimbang Umno tidak akan mampu bangkit jika tewas dan kembali menjadi pembangkang selepas PRU15.

“Kalau Umno buat kesilapan sebelum PRU15 dan ditakdirkan kita tak menang kerana kesilapan percaturan, Umno sekali lagi jadi pembangkang dan kita takkan bangkit semula.

“Sebagai orang lama dalam politik saya nak tengok Umno mesti menang, jadi kerajaan dan sekat DAP daripada berkuasa semula dan ulangi kebobrokan yang dilakukan mereka,” tegas Annuar.

Katanya, beliau akan tetap mempertahankan prinsip itu walaupun pegangan tersebut dilihat tidak popular dan bercanggah dengan segelintir pimpinan parti.

Kekuatan gabungan bersama PAS itu juga berdasarkan kajian yang dibuat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata Annuar.

Kajian yang dibentangkannya tiga minggu lalu menunjukkan gabungan BN berada di tangga tercorot antara semua gabungan parti sekiranya tidak bergabung.

“Kalau BN dan MN (bergabung) kita nombor satu, kalahkan PH. Bolehkah saya belakangkan kajian empiris dan akal budi? Umno tak boleh sendirian,” kata Annuar lagi.

Katanya, Umno perlu kembali berkuasa untuk mempertahan kepentingan Melayu Islam dan memastikan DAP tidak kembali menjadi kerajaan.

Annuar berkata demikian ketika diwawancara Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan yang disiar langsung parti itu di Facebook.

Barisan Nasional tewas buat julung kalinya pada 2018 di tangan Pakatan Harapan sewaktu gabungan parti pembangkang tersebut dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pilihan raya umum itu, Umno menang 54 kerusi dan PAS menguasai 18 kerusi.

Parti serpihan Umno, Bersatu pula menang 13 kerusi manakala serpihan PAS, Amanah mendapat 11 kerusi.

Kerajaan yang dibentuk Dr Mahathir bersama DAP dan Amanah kecundang apabila partinya Bersatu keluar dari gabungan PH dan membentu kerajaan baharu dengan Umno, PAS dan BN.

Annuar dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet baharu Muhyiddin pada Februari lalu. – 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen