Wakil rakyat KL perlu maklumat terperinci kes Covid-19 di ibu negara, kata Fahmi Fadzil 


Noel Achariam

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata pihaknya memerlukan maklumat bagi membolehkan bantuan disampaikan kepada penduduk terjejas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

LEBIH banyak maklumat perlu diberikan kepada ahli Parlimen di Kuala Lumpur berhubung kawasan terjejas akibat Covid-19 di ibu negara, kata Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata maklumat lebih komprehensif dan butiran terperinci berhubung pandemik perlu diberikan kepada wakil rakyat.

“Krisis ini perlu libatkan semua orang. Tetapi malangnya di KL kami tidak dilibatkan.

“Kualiti maklumat yanng disebarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Majlis Keselamatan Negara tidak terperinci seperti negeri lain,” kata ahli Parlimen PKR di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi merujuk kepada peningkatan kes Covid-19 di Kuala Lumpur.

“Kita boleh lihat ada zon merah, tetapi tidak ada pecahan mengenai berapa banyak kes pulih dan kes positif.

“Kini, terdapat kluster Damanlela yang ada lebih 1,300 kes di tapak pembinaan.

“Tetapi malangnya masih rakai yang tidak tahu.”

Semalam, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah keseluruhan 3,128 pekerja pembinaan, 1,346 kes positif Covid-19 direkodkan.

Beliau berkata buat masa ini tidak perlu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di tapak pembinaan Damanlela.

Fahmi berkata terdapat lain seperti Kepong dan Bukit Damansara yang diletakkan di bawah zon merah.

“Ramai yang tinggal di sana termasuk ahli Parlimen Pagoh (Perdana Menteri Muhyiddin Yassin).

“Jadi, phak berkuasa perlu beri maklumat lebih terperinci kepada semua ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

“Termasuk kami, kami juga mahu membantu.”

Sembilan daripada 11 ahli Parlimen di Kuala Lumpur adalah daripada Pakatan Harapan. Dua lagi adalah daripada Perikatan Nasional.– 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen