Amanah nafi wujud kem sokong Anwar, Dr Mahathir


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad nafi parti itu berpecah antara kumpulan sokong Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

AMANAH menafikan pemimpin parti itu kini berpecah kepada kumpulan penyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata dakwaan itu tidak benar dan menegaskan, semua ahli Parlimen parti berkenaan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Sokongan tersebut dibuat melalui tandatangan akuan bersumpah (SD), kata Khalid ketika menjelaskan larangan supaya pemimpin parti tidak menyerang Dr Mahathir.

“Semua ahli Parlimen Amanah memberi tandatangan dalam SD menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Laporan daripada media mengatakan, seolah-olah pimpinan Amanah berbelah bahagi antara sokong Anwar atau Mahathir tidak dapat dan perlu diperbetulkan,” katanya.

Bagaimanapun Amanah tidak bersetuju apabila pemimpin parti menyerang Dr Mahathir, katanya.

“Kita cuma tidak setuju untuk serang dan kutuk Dr Mahahir kerana anggap pembangkang adalah satu kolam.

“Kesatuan di kalangan pembangkang perlu diusahakan untuk jatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.

Beliau mengulas laporan Free Malaysia Today pada Selasa mendakwa ahli Amanah kini resah dengan pergeseran antara pemimpin parti yang menyokong Anwar dan Dr Mahathir.

Laporan sama mengaitkan tindakan Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang meninggalkan parti Amanah dan menyertai PKR.

Langkah tersebut menyebabkan Amanah kini hanya menguasai enam kerusi dalam DUN Selangor. Parti itu menang lapan kerusi pada PRU14.

Laporan berkenaan memetik kenyataan sumber parti yang mendakwa sokongan ahli Parlimen Amanah yang memihak kepada Anwar dan Dr Mahathir kini semakin jelas.

Namun Khalid berkata, dakwaan itu hanyalah usaha untuk memecah-belahkan Amanah dan pembangkang.

“Pihak tertentu di luar Amanah sedang usaha laga-lagakan kami dengan harapan pembangkang berpecah belah, tindakan ini tidak bijak dan tidak wajar.

“Pembangkang perlu diperkukuhkan dalam suasana undi Belanjawan 2021 nanti,” katanya.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam seterusnya menjelaskan, Amanah tetap berusaha mendapatkan sokongan Dr Mahathir dan Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal.

“Amanah berusaha untuk dapatkan sokongan daripada parti Dr Mahathir dan Shafie supaya kita bersuara dengan satu suara pada 26 November ini,” katanya. – 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen