Yayasan Wilayah Persekutuan kekal sebagai entiti bukan berasas keuntungan


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa tolak gesaan membubarkan YWP dan menegaskan ia banyak membantu warga kota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan dibenarkan selagi tidak melanggar undang-undang atau garis panduan, kata Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan berkata YWP didaftarkan sebagai NGO dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Ia (YWP) bukan agensi kerajaan. Ia bukan milik kerajaan dan tidak mendapat dana daripada kerajaan.

“Jadi, kerajaan tidak boleh keterlaluan dan mengambil NGO serta menjadikannya badan berkanun,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Annuar berkata demikian susulan gesaan ahli Parlimen Kuala Lumpur agar YWP dibubarkan ekoran pendedahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perjanjian tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata yayasan itu menjalankan aktiviti menjual dan menyewa aset kerajaan termasuk papan iklan dan tapak parkir untuk kebajikan.

“Ini semua aset harta kerajaan. Kenapa bagi syarikat berdaftar uruskan? Saya minta kerajaan bubarkan kegunaan dan kewujudan YWP.

“Kalau nak buat kebajikan melalui yayasan saya rasa boleh dibuat oleh Kementerian Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau DBKL bentuk jabatan khas untuk komuniti,” katanya.

Annuar juga berkata beliau juga sedang mengkaji laporan PAC dan bersedia untuk membuat perubahan jika perlu.

Beliau juga berkata YWP adalah NGO dan Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak memegang sebarang jawatan (dalam yayasan), justeru, tiada konflik kepentingan.

“YWP bukan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.”

Annuar berkata ratusan ribu penduduk bandar menerima bantuan daripada yayasan tersebut.

“Ketika sekolah dibuka kembali, YWP akan memberikan bantuan kepada 25,000 murid sekolah. Bahkan semasa wabak, banyak warga kota dibantu oleh yayasan.”

Beliau juga menambah yang ahli lembaga pengarahnya juga bertanggungjawab menguruskannya dengan baik.

“Mereka yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah tidak boleh menerima gaji atau elaun tetap. Mereka bekerja sebagai pemegang amanah secara sukarela.” – 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • atas kertas mmg cantik, pastu...

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Marhaen Marhaen · Ulasan