Lapor SPRM ke atas siapa? Azwan Ali kata spekulasi sendiri


Radzi Razak

Azwan Ali hari ini menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwanya membuktikan kes salah laku seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kemewahan melampau individu itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Disember, 2017.

SELEBRITI Azwan Ali menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwanya membuktikan kes salah laku seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kemewahan melampau individu itu.

Ketika ditanya, Azwan berteka-teki dan enggan menamakan individu berkenaan mahupun jenis bukti yang diberikan.

“Saya rasa media boleh membuat spekulasi atau mentafsirkan siapa yang saya maksudkan. Saya tidak boleh beritahu siapa individunya, ia sangat sulit kena tunggu dan lihat,” katanya dalam sidang media di bangunan SPRM hari ini.

Azwan, yang merupakan adik kepada Menteri Besar Selangor Azmin Ali telah menawarkan diri untuk membantu Umno menjatuhkan abang kandungnya itu dalam pilihan raya sebagai hadiah kepada Presiden Umno Najib Razak.

Mengulas lanjut, Azwan berkata, beliau menghimpun “bukti” tersebut sepanjang kariernya hampir tiga dekad dalam industri hiburan.

Tambahnya, beliau turut bertemu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki dan disoal siasat pegawai agensi itu berhubung “bukti” berkenaan.

“Saya telah serahkan dokumen bukti kepada SPRM, saya percaya SPRM akan menyusul tindakan mereka kerana semua tahu SPRM bukan politik. Tidak ada istilah politik.

“Kehadiran saya ialah untuk membantu memberikan kerjasama atas proses siasatan yang sedang dijalankan.

“Saya bukan orang yang berhak untuk mendedahkan semua dokumen kerana ia bersifat private and confidential (sulit), ia boleh menjejaskan siasatan,” katanya tanpa menyatakan kes atau individu yang disiasat.

Ketika sidang media di hadapan pejabat SPRM hari ini, beberapa wartawan turut melihat nama Azmin Ali terpampang di atas beberapa dokumen dan fail yang dibawa Azwan.

Azwan berteka-teki dan enggan menamakan individu berkenaan mahupun jenis bukti yang diberikan.. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Disember, 2017.

Tegasnya, tindakannya itu bukan bermotifkan politik tetapi hanya demi agama, bangsa dan negara.

“Kenapa dikatakan saya makan dedak, tapi artis yang menyokong pembangkang itu dedak apa? Dedak basi kot. Senang-senang kata aku dapat dedak kau, kau pun dedak juga ingat aku tak tahu.

“Terkini saya tahu ramai yang mencaci hina saya kata pendedahan saya sebab PRU14. Ini semua kerana Allah. Kau sekolah ke tak, kau sekolah ke tak. Kau janganlah nak pusing cakap,” kata beliau.

Azwan juga mendakwa menerima panggilan daripada pemimpin pembangkang yang menurutnya mengalungkan penghargaan padanya kerana berani mendedahkan kebenaran.

Bagaimanapun Azwan tidak mahu mengulas lanjut mengenai siapa pemimpin pembangkang yang menghubunginya.

Kehadiran beliau ke Perhimpunan Agung Umno 6 Disember lalu bersama Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos mencuit perhatian ramai pihak.

Selain mengumumkan untuk menjatuhkan Azmin dalam pilihan raya umum akan datang, Azwab menyokong hasrat Jamal itu untuk menentang abangnya itu di DUN Bukit Antarabangsa pada PRU14.

Katanya, langkah itu sebagai tindak balas kerana Azmin tidak menghargai jasa beliau mempertahankan abangnya itu selama ini. – 20 Disember, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Celah kaki kanan dn kiri kau tu ditengah tengah tu btg balak ade lg ke tak?ataupun dh kena cantas?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Bagi budak ni, kata orang "blood is thicker than water" mcm tidak langsung benar.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

    • Sedih…

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan