Tadika mohon kebenaran beroperasi sekarang, bukan tahun depan


Angie Tan

Murid enam tahun yang bakal masuk ke sekolah rendah tahun depan terlepas banyak aktiviti termasuk majlis graduasi dan sambutan hari kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

OPERATOR tadika minta dibenarkan untuk menyambung operasi sekarang, di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), bukannya menunggu hingga tahun depan.

Mereka hanya dapat beroperasi tiga bulan sejak Julai, hingga PKPB dikuatkuasakan sekali lagi, mulanya di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah pada 14 Oktober. Sejak 9 November, PKPB dilanjutkan hingga 6 Disember, meliputi semua negeri di Malaysia kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Operator tadika memberitahu The Malaysian Insight mereka menghadapi masalah aliran tunai kerana kebanyakan ibu bapa mohon untuk yuran dikurangkan.

Guru juga bimbang kerana kelas pembelajaran online untuk kanak-kanak semuda itu tidak berkesan.

Presiden Persatuan Guru Tadika Johor Cheong Siew Ngo berkata banyak operator tidak mahu mendesak bayaran daripada ibu bapa kerana mereka juga mengalami masalah kewangan.

“Hanya sejumlah kecil ibu bapa yang masih dapat membayar yuran,” kata Cheong.

Beliau juga bimbang dengan perkembangan kanak-kanak, kerana mereka hanya ada tiga bulan menghadiri kelas secara fizikal dan hilang banyak peluang untuk bermain dan berinteraksi dengan rakan sebaya.

“Murid tidak dapat menyertai banyak aktiviti tahun ini, seperti hari kanak-kanak, majlis graduasi, hari keluarga dan berkhemah. Ini akan menyebabkan mereka kurang interaksi sosial antara kanak-kanak,” katanya.

Cheong berkata jika tadika dibenarkan menyambung operasi sekarang, murid masih ada peluang menyertai aktiviti ini sebelum tahun ini berakhir.

Operator tadika minta dibenarkan untuk menyambung operasi sekarang, di bawah penguatkuasaan PKPB, bukannya menunggu hingga tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng Chit Peng berkata gangguan terhadap pembelajaran fizikal dan aktiviti akan menjejaskan murid enam tahun yang sedang bersiap sedia untuk memasuki darjah satu.

“Sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan kerana tadika ditutup hampir sepanjang tahun ini.

“Murid enam tahun yang bersedia untuk masuk ke sekolah rendah masih perlu melengkapkan sukatan pelajaran pra sekolah sebelum mendaftar ke darjah satu,” katanya.

Ng berkata guru tadika sukar mengajar murid secara atas talian kerana murid tadika sukar memberikan perhatian dalam tempoh panjang.

Apatah lagi, murid di kawan luar bandar di mana liputan Internet amat kurang, sudah pasti ketinggalan.

“Tambahan lagi, murid yang menghadiri kelas online perlu ditemani ibu bapa. Sesetengah ibu bapa perlu bekerja dan tidak dapat duduk bersama anak mereka untuk kelas online.”

Cheong berkata 90% daripada 700 ahlinya sudah bersedia untuk membuka semula operasi tadika mereka.

Beliau berkata mereka bersedia untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) terhadap penularan Covid-19, dipatuhi.

Sementara itu, Ng berkata lebih 90% daripada 3,000 ahli di peringkat nasional sanggup untuk beroperasi lebih awal.

Katanya, persatuan akan terus memohon kepada kerajaan supaya tadika dapat dibuka lebih awal, bukannya menunggu hingga tahun depan.

“Memandangkan pusat jagaan bayi dan kanak-kanak boleh dibuka semula, tadika juga sepatutnya dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau merujuk kepada pengumuman Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Rina Harun pada 12 November bahawa pusat jagaan kanak-kanak dibenarkan beroperasi ketika PKPB, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri.

Di Miri, Sarawak, Pengerusi Persatuan Pendidikan Prasekolah Miri Sim Siew Fang berkata ibu bapa yang membayar yuran lebih awal kini tidak tahu mahu menghantar anak ke mana.

“Menghantar anak ke pengasuh juga akan menambah kos.

“Tadika sebaliknya, boleh membantu ibu bapa dalam hal ini.”

Di Sarawak, kerajaan negeri membenarkan tadika di zon hijau untuk beroperasi, tetapi tidak di zon kuning seperti Miri.

“Kami harap Miri akan jadi zon hijau secepat mungkin, dan tadika dapat dibuka. Kami juga berharap ibu bapa dapat memahami masalah dihadapi industri ini,” kata Sim. – 20 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen