Palestin sambung kembali penyelarasan keselamatan dengan Israel


Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengesahkan Pihak Berkuasa Palestin menerima sepucuk surat daripada Israel menyatakan mereka komited terhadap semua perjanjian dan dengan itu, mereka mengumumkan penyambungan hubungan. – Gambar EPA, 18 November, 2020.

PIHAK Berkuasa Palestin semalam mengumumkan mereka akan menyambung kembali penyelarasan keselamatan dan hubungan diplomatik lain dengan Israel selepas hubungan digantung pada Mei ekoran pelan rampasan tanah Tel Aviv, lapor Agensi Anadolu.

“Sejajar dengan seruan yang dibuat Presiden (Mahmoud) Abbas berhubung perjanjian dua hala bertulis, dan surat rasmi yang diterima serta perbualan lisan, mengesahkan komitmen Israel.

“Sehubungan itu, hubungan dengan Israel akan kembali seperti sebelumnya,” kata Menteri Hal Ehwal Awam Palestin, Hussein Al-Sheikh menerusi Twitter.

“Merujuk kepada surat anda bertarikh 7 Oktober 2020, Israel sebelum ini sudah menyatakan perjanjian dua hala Israel-Palestin akan terus membentuk kerangka kerja pentadbiran pihak berkaitan dalam urusan kewangan dan perkara lain,” menurut surat yang diterima Al-Sheikh hari ini daripada Penyelaras aktiviti Kerajaan Israel di wilayah Palestin, Kamil Abu Rukun.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengesahkan Pihak Berkuasa Palestin menerima sepucuk surat daripada Israel menyatakan mereka komited terhadap semua perjanjian dan dengan itu, mereka mengumumkan penyambungan hubungan.

Sementara itu, beberapa kumpulan Palestin mengecam pengumuman itu.

Keputusan ini seakan mewajarkan tindakan beberapa negara yang memulihkan hubungan dengan Israel, suatu tindakan yang kami bantah, kata Hamas menerusi satu kenyataan.

“Keputusan ini memberi cabaran terhadap usaha membina negara bersatu, cabaran terhadap perjuangan menentang kependudukan, penaklukan, memulihkan hubungan serta Perjanjian Abad Ini tetapi pada ketika sama, Isreal terus membina ribuan unit rumah di Baitulmaqdis dan wilayah yang diduduki.

Hamas menyatakan, Pihak Berkuasa Palestin mesti membatalkan keputusannya serta merta dan tidak mengharapkan bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Bidin atau pemimpin lain membebaskan bumi Palestin sambil menambah, perpaduan nasional adalah kaedah tunggal terhadap masalah ini.

Pihak Berkuasa Palestin memutuskan hubungan dengan Israel pada Mei sebagai protes terhadap program pembangunan di atas tanah yang diduduki di Tebing Barat menerusi Pelan Perjanjian Abad Ini tajaan Presiden Donald Trump. – Bernama, 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen