Kenakan cukai durian runtuh kepada syarikat gergasi, gesa Syed Saddiq


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata cukai durian runtuh boleh disalur semula kepada rakyat untuk beli vaksin Covid-19 dan bantuan kepada barisan hadapan. – Gambar Parlimen Malaysia, 18 November, 2020.

PUTRAJAYA wajar mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat dan perniagaan yang mengaut untung besar semasa penularan Covid-19, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Cukai itu boleh disalurkan semula kepada rakyat untuk membeli vaksin Covid-19 serta bantuan kepada barisan hadapan, katanya.

“Kita bukan hendak menghukum syarikat ini tetapi apabila mereka dapat untung yang luar biasa, orang pula sengsara (pada) musim Covid .

“Kerajaan perlu ada keberanian untuk berdepan dengan syarikat-syarikat gergasi untuk adakan sistem percukaian yang adil supaya akhirnya rakyat menerima manfaatnya.

“Cukai durian runtuh boleh dikenakan kepada syarikat-syarikat seperti sarung tangan getah di Malaysia yang terima keuntungan berkali-kali ganda dalam musim Covid-19,” kata Syed Saddiq ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberikan beberapa contoh syarikat gergasi yang untung besar di tengah penularan Covid-19 seperti Top Glove dan Supermax Corporation, susulan permintaan pasaran yang tinggi terhadap produk sarung tangan getah.

Kerajaan bagaimanapun hanya mendapat RM400 juta daripada syarikat itu dalam bentuk derma, kata Syed Saddiq.

Semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Zafrul berkata empat syarikat sarung tangan utama Hartalega dan Kossan memberi komitmen untuk menyumbang RM400 juta kepada kerajaan bagi memerangi Covid-19.

“Adakah kerajaan telah berkompromi untuk dana politik? Ataupun terus berpihak kepada syarikat kaya daripada rakyat miskin?

“Jangan kita biar yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin. 

“Kerajaan kenakan cukai bukan untuk tutup peluang mereka berniaga dan meraih untung, tetapi ini tanggungjawab yang perlu mereka kongsi dengan negara,” tegas beliau. 

Syed Saddiq turut menyenaraikan beberapa syarikat gergasi sarung tangan yang memperoleh keuntungan 441% ketika wabak Covid-19.

“Top Glove Corporation untung cecah RM1.9 bilion ringgit, 417% berbanding tahun lepas.  Hartalega Holdings Bhd untung cecah RM545 juta, Supermax Corporation untung bersih RM789.5 juta, naik 32 kali daripada tahun lepas,” jelasnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lim Ban Hong memberitahu eksport sarung tangan getah keluaran Malaysia telah meningkat kepada RM15.06 bilion bagi tempoh Januari sehingga Julai 2020 berbanding RM10.03 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019, kenaikan sebanyak 50.1%.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijadikan sebagai sebuah kementerian barisan hadapan.

Jelasnya, KPWKM memainkan peranan yang penting dalam aspek kebajikan ketika negara dilanda wabak Covid-19.

“Sejak sidang lepas ditekankan Kementerian Wanita ini harus dijadikan kementerian barisan hadapan. Tanggungjawab kementerian sebagai peneraju utama bagi kebajikan dan jaringan sosial masyarakat, kanak-kanak, warga emas sehingga orang kelainan upaya amat besar.

Memandangkan KPWKM sudah bertambah tanggungan daripada 500,000 orang kepada 1.5 juta dengan kenaikan PGK (Pendapatan Garis Kemiskinan daripada RM980 naik kepada RM 2208), kes yang diselenggara pegawai JKM juga bakal bertambah,” jelas beliau.

“Akta Profesional Kerja Sosial adalah penting untuk mengiktiraf program kerja sosial yang sama seperti kumpulan peguam dan doktor, malah turut membuka peluang kepada graduan kerja sosial lain untuk mengisi ruang khidmat dan bakti kerja sosial,” tambahnya. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen