Kabinet setuju bina Jambatan Labuan-Sabah


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata Kabinet sudah meluluskan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

KABINET bersetuju membina jambatan untuk menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah, kata Annuar Musa.

“Kertas Kabinet diserahkan pada 9 September untuk meminta persetujuan Kabinet membina Jambatan Labuan-Sabah. Kabinet sudah meluluskannya,” kata menteri Wilayah Persekutuan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerja Raya kini sedang memuktamadkan terma rujukan bagi Permintaan Untuk Cadangan (RFP) projek tersebut.

“Projek ini akan dijalankan berdasarkan perkongsian awam-swasta, dengan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI). Projek ini akan dilakukan dengan bidaan kompetitif dengan menjemput RFP,” kata ahli Parlimen Ketereh.

Menteri itu menjawab pertanyaan Rozman Isli (Labuan-Warisan) mengenai apakah kerajaan akan membina jambatan melalui RFP dan apakah akan melakukan pertukaran tanah dengan tanah dimiliki di Kuala Lumpur.

Perikatan Nasional, melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berjanji untuk membina Jambatan Labuan-Sabah sekiranya memenangi pilihan raya Sabah baru-baru ini.
Annuar berkata kerajaan menerima banyak cadangan dari sektor swasta.

Katanya, kerajaan berharap dapat memuktamadkan terma rujukan untuk RFP pada akhir tahun ini.

“Selepas itu, kami memerlukan 6 hingga 8 bulan untuk menyelesaikan dokumen RFP untuk proses bidaan. Kami berharap bidaan akan disemak semula pada September 2021 dan memutuskan projek tersebut pada Oktober 2021,” kata menteri itu.

Projek jambatan Labuan-Menumbok dicadangkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 2018 semasa pelancaran Pelan Pembangunan Labuan 2030, tetapi tiada anggaran kos untuk projek itu.

Walaupun ia merancang memulakan pembinaan pada 2020 dan siap pada 2023, Sabah masih belum bersetuju dengan rancangan tersebut.

Sekiranya ia dibina, jambatan itu akan menjadi jambatan kedua terpanjang di Malaysia, selepas Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan jarak 23km. Jarak antara Menumbok dan Labuan sekitar 21km. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen