Terowong lindungi bekalan elektik Singapura selama 120 tahun hampir siap


Pemandangan kota Singapura di waktu malam. Sistem terowong raksasa yang akan melindungi bekalan elektrik Singapura untuk tempoh 120 tahun hampir siap bagi menambah 1,200 kilometer kabel bervoltan tinggi - lebih tiga kali ganda jarak antara Singapura dan Kuala Lumpur - merupakan antara projek bekalan elektrik paling dalam di dunia. – Gambar EPA, 20 Disember, 2017.

SISTEM terowong raksasa yang akan melindungi bekalan elektrik Singapura untuk tempoh 120 tahun,  sudah disiapkan, lapor Straits Times.

Laporan itu menyebut bahawa projek berbillion dolar itu bagi menambah 1,200 kilometer kabel bervoltan tinggi - lebih tiga kali ganda jarak antara Singapura dan Kuala Lumpur - merupakan antara projek bekalan elektrik paling dalam di dunia.

Penduduk Singapura akan mula memanfaatkan sumber elektrik ini mulai tahun depan, kata laporan itu memetik syarikat utiliti tenaga minyak republik itu, SP Group.

“Kami perlu membina 60 meter dalam disebabkan Singapura tidak mempunyai ruang. Kami tidak ada pilihan,” kata Pengarah Urusan Projek dan Infrastruktur SP Group, Michael Chin.

“Jika anda melihat profil Singapura, kami mempunyai MRT, iaitu 30 meter hingga 40 meter dalam, Sistem Pembetungan Terowong Dalam, iaitu antara 40 meter dan 70 meter, jadi kami ‘menjimatkan’ ruang kami dengan pembinaan dengan kedalaman 60 meter,” kata Chin.

Tiga terowong terbabit dinamakan sebagai Terowong  Perintis Pulau Utara-Selatan, Timur-Barat dan Pulau Jurong, dengan projek bernilai S$2.4 bilion (S$1=RM3.03) bermula pada 2012.

SP Group berkata kabel bervoltan  tinggi di dalam terowong akan menggantikan lapan litar yang bergerak ke utara dan selatan atau timur dan barat di seluruh republik itu.

Lapan litar ini, yang dibina pada 1980-an, merupakan kabel penghantaran tertua yang masih digunakan di Singapura.

Pemasangan kabel, yang akan bermula awal tahun depan, dijangka siap pada 2022.

Kabel pertama akan dilancarkan pada akhir tahun depan.

Kira-kira  500 km kabel akan dipasang,  kurang daripada separuh kapasiti terowong.

Ia akan membekalkan kira-kira 20% daripada permintaan Singapura semasa puncak, dengan tahun 2016 mencecah 7,194MW, kata Straits Times yang memetik data Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA).

EMA juga mengunjurkan permintaan elektrik meningkat sekitar 2.0% setahun.

Impak projek ke atas harga elektrik dijangka rendah.

“Matlamat  segera pembinaan terowong kabel itu adalah  untuk menggantikan kabel kami yang sudah lama,” kata Chin.

Namun, merujuk kepada jarak kabel tambahan, Chin berkata: “Kami juga memenuhi keperluan masa depan Singapura.”

Berdasarkan jaraknya, terowong mempunyai kedalaman 6 meter, kira-kira ketinggian bangunan dua tingkat, dan pada persimpangan, ia mempunyai kedalaman sehingga 11 meter - kira-kira ketinggian bangunan tiga tingkat.

Jangka hayat kabel ialah adalah selaman 30 tahun. Pada asasnya, ia lebih mudah digantikan berbanding kabel yang kini di pasang di bawah jalan raya, yang boleh menjejaskan lalu lintas untuk kerja-kerja pemasangan.

Chin berkata memandangkan kesemuanya ditanam 30 meter di bawah tanah milik  kerajaan, kabel tidak lagi mengikut jalan dan boleh dipasang jauh di bawah  hartanah swasta. – Bernama, 20 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen