Kerajaan perpaduan sukar diterima di Malaysia, kata Ku Li


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Pengerusi lembaga penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan perpaduan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

KERAJAAN perpaduan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini lebih menjurus kepada politik kepartian berbanding individu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi lembaga penasihat Umno itu berkata, beliau bagaimanapun terbuka dengan cadangan itu, yang minggu lalu sekali lagi diketengahkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

“Rakyat muak dengan politik kepartian dan sekarang mereka lebih menjurus kepada personaliti.

“Saya terbuka dengan idea itu tetapi sukar untuk berlaku tanpa parti politik.

“Asas demokrasi berparlimen kita adalah parti politik,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, awal minggu ini di kediamannya di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menambah kekuatan kesatuan parti politik juga menjangkau kekuatan individu dalam berpolitik.

“Idea kerajaan perpaduan adalah berasaskan sokongan individu. Kita bergerak atas jentera sebagai sebuah parti. Parti yang akan menentukan program yang sesuai untuk rakyat.

“Tetapi jika berasaskan individu ia tidak tersusun dan sukar menghimpunkan sokongan daripada rakyat secara keseluruhannya, kekuatan sokongan secara individu tidak dapat diperolehi daripada parti yang lebih tersusun,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad pertama kali kemukakan idea kerajaan tanpa parti politik semasa beliau menjadi perdana menteri sementara, dua hari selepas pentadbiran PH runtuh Februari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

Tengku Razaleigh diminta mengulas cadangan Dr Mahathir untuk sebuah kerajaan perpaduan dibentuk di tengah pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi yang berbangkit daripada penularannya.

Menurut ahli Parlimen 11 penggal itu, idea tersebut tidak akan dapat sokongan daripada parti politik, walaupun negara berhadapan ancaman pandemik Covid-19.

Namun, sebagai ahli Umno beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada menerima atau menolak cadangan itu.

“Saya ahli Umno, terpulanglah kepada Umno untuk menyokong perkara seumpama itu,” katanya.

Tengku Razaleigh bagaimanapun turut mengingatkan, tiada seorang pun pemimpin politik yang mampu bergerak sendirian dalam arena politik tanah air semasa untuk mengemudi kerajaan.

“Lihat parti Anwar, beliau tidak mempunyai sokongan penuh, tanpa DAP, Anwar habis,” katanya merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan.

Keadaan sama juga katanya berlaku kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

“Sama juga macam parti Muhyiddin, beliau tidak akan mendapat sokongan jika bukan kerana PAS dan kami (Umno),” katanya.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Dr Mahathir berkata jalan masa depan untuk Malaysia, di tengah penularan wabak dan masalah ekonomi sekarang, adalah sebuah kerajaan perpaduan yang merentas garis parti politik.

Dr Mahathir pertama kali mengemukakan idea kerajaan tanpa parti politik semasa beliau menjadi perdana menteri sementara, dua hari selepas pentadbiran Pakatan Harapan pimpinannya runtuh pada hujung Februari lalu.

Bekas perdana menteri pada hujung Oktober dilapor mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin politik dipercayai bagi membincangkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Beliau bertemu antaranya Tengku Razaleigh, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) Dzulkifli Mohamad.

Muhyiddin juga dilapor meminta pandangan daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sama ada wajar atau tidak beliau bertemu dengan Dr Mahathir, lapan bulan selepas langkah politik yang memutuskan hubungan antara mereka.

Kedua-dua pemimpin itu bertembung selepas Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada hujung Februari sehingga membawa kepada runtuhnya kerajaan 22 bulan yang dibentuk selepas pilihan raya umum 2018.

Muhyiddin kemudian mengetuai kerajaan baharu Perikatan Nasional yang dibentuk bersama Umno dan Barisan Nasional serta PAS. Ia mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak dan parti dari Sabah serta wakil rakyat bebas.

Selepas tersingkir dari Bersatu bersama pengikutnya, Dr Mahathir menubuhkan parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen