Dana RM1.3 juta disalur kepada Zoo Negara pada Jun 2020


Menurut kementerian sebanyak RM10.2 juta di bawah program Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada premis Zoo dan Pameran Tetap.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menyalurkan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara pada Jun lepas.

Menterinya Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan hari ini menjelaskan, dana yang disalurkan itu bertujuan membantu menampung kos menyediakan bekalan makanan kepada hidupan liar bagi menghadapi kesan pandemik Covid-19.

KeTSA juga, kata beliau, telah melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek bagi memastikan kebajikan hidupan liar di semua Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) terus terpelihara.

Antaranya, menurut Shamsul Anuar, menyediakan peruntukan sebanyak RM10.2 juta di bawah program Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada premis ZPT yang terjejas yang bertujuan meringankan bebanan kos operasi premis berkenaan.

“Sebanyak 21 ZPT telah mengemukakan permohonan dan dana telah disalurkan secara berperingkat bermula Mei 2020. Selain itu, memanjangkan secara spesifik diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan kepada ZPT di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).

“Mengedar 15 tan barang sumbangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) termasuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada premis ZPT dan menyediakan bantuan teknikal kepada ZPT khususnya dalam pengurusan husbandri (husbandry),” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata demikian susulan tular dalam media massa dan media sosial yang mengundang persoalan daripada masyarakat berhubung peranan kerajaan bagi mengatasi masalah kegiatan ekonomi pengendali ZPT yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Bernama, 17 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen