Utamakan kontraktor tempatan untuk projek mega, kata Tajuddin


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata 70% daripada kontrak patut diberikan kepada kontraktor tempatan yang berbilang kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

KONTRAKTOR tempatan harus diberi keutamaan dalam pengagihan kontrak bagi projek besar kerajaan, kata Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, 70% daripada kontrak berkenaan patut diberikan kepada kontraktor tempatan yang berbilang kaum.

Beliau kesal apabila kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit untuk projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),  Sistem Transit Rapid (RTS) dan Transit Aliran Massa (MRT) tetapi sayangnya kontraktor-kontraktor besar sahaja mendapat manfaat projek tersebut.

“Kebanyakan kontraktor yang dilantik adalah kontraktor besar. Bumiputera tak ada kontraktor besar, hanya kontraktor kecil. 

“Tolong, saya nak kerajaan dan menteri kewangan pastikan sekurang-kurangya 70% diberi kepada kontraktor tempatan, dan daripada 70% kita bahagi-bahagi kontraktor kaum Cina, India dan Melayu.

“Semua kita bagi,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Tajuddin menjelaskan beliau bukan menggesa atau mengugut kerajaan tetapi meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Menteri kewangan, timbalan menteri, tolong bagi… jangan main-main perkara ini. 

“Ini saya dapat tahu, ECRL kontraktor China, dia tak kasi can kepada kontraktor tempatan.

“Ingat, kita nak masyarakat Malaysia yang kongsi kemakmuran negara tidak kira apa-apa bangsa,” tegasnya.

Cadangan beliau disambut baik oleh beberapa ahli parlimen pembangkang antaranya Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer daripada DAP.

“Saya Melayu tetapi sayang juga kawan-kawan lain seperti Jelutong,” tambah Tajuddin. 

Isu penyertaan kontraktor tempatan dan Bumiputera sebelum ini lantang disuarakan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM).

Projek ECRL yang dianugerahkan kontraknya kepada China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd adalah sebahagian daripada inisiatif Belt and Road China.

Pada 2019, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata 40% daripada projek ECRL akan diberikan kepada syarikat tempatan.

Sebelum itu, Presiden PKBM Azman Yusof menggesa kerajaan agar mengutamakan kontraktor Bumiputera dan tempatan untuk terbabit secara langsung dalam pelaksanaan ECRL Seksyen A. – 17 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen