SERAMAI 11 orang termasuk warga asing terbunuh manakala 20 lagi cedera selepas sebuah bas yang membawa pelancong dari kapal pelayaran Amerika Syarikat (AS) ke tapak arkeologi di Pantai Caribbean di Mexico terbabas semalam.
Kemalangan berlaku di lebuh raya di Quintana Roo, yang terletak di pantai timur Semenanjung Yucatan dan cukup dikenali ramai sebagai bandar pelancongan Cancun.
Pelancong terbabit adalah penumpang kapal pelayaran Royal Caribbean, namun setakat ini tidak dapat disahkan di mana ia berlabuh.
Laman web Royal Caribbean berkata, semua pelayaran ke Caribbean akan berlepas dari tanah besar AS atau Puerto Rico.
Ketika kejadian, bas yang membawa 31 penumpang itu dikatakan melalui jalan raya lurus dalam keadaan trafik lancar.
Punca kemalangan yang berlaku pada awal pagi semalam itu masih tidak diketahui.
Jurucakap Royal Caribbean ketika dihubungi juga enggan mengulas lanjut kemalangan jalan raya itu. – AFP, 20 Disember, 2017.
Komen