Pelancong asing tetap gembira walau terkandas di Malaysia


Hailey Chung Wee Kye

Jordan Benson bersama bayinya yang lahir di Malaysia selepas terkandas untuk pulang ke Britain. – Gambar The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

MALAYSIA menjadi rumah kedua beberapa pelancong asing buat masa ini, susulan penutupan sempadan disebabkan pandemik Covid-19 dan menganggapnya sebagai satu kembara baharu dan panjang.

Mereka terpaksa tinggal lebih lama daripada yang dijangkakan dan ia mendorong sebahagiannya mempertimbangkan Malaysia sebagai tempat tinggal tetap, atau paling tidak bagi kediaman jangka panjang, melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Program ini sedang dibekukan oleh kerajaan sementara menunggu penilaian proses.

Jürg Tanner dan isterinya, Margot, menggembara dan melancong melalui perjalanan darat dengan trak perkhemahan mereka sejak April 2018.

Mereka meninggalkan Switzerland dan menggembara ke 26 negara di sepanjang jalan melalui Asia Tengah dan masuk ke Malaysia pada 9 Mac.

“Kami menghabiskan sebahagian besar perintah kawalan pergerakan (PKP) di Tanah Rata, Cameron Highlands, diikuti tiga bulan di pantai timur,” kata Jürg, 60 tahun.

“Kami menikmati keindahan Malaysia, tetapi kami mempunyai satu masalah besar: kami tidak boleh meninggalkan Malaysia tanpa kenderaan kami.”

Laluan mereka seterusnya adalah ke utara untuk masuk ke Thailand dan seterusnya ke India, tetapi sempadan ke Thailand ditutup.

“Kami boleh meninggalkan Malaysia dengan kapal terbang tetapi terpaksa meninggalkan trak perkhemahan kami di sini, yang pada dasarnya adalah rumah kami, dan tidak tahu apakah dan bila kami akan dapat kembali lagi.”

Walaupun menghadapi masalah, Jürg berkata tempoh di sini sangat menyenangkan.

“Kami sangat berterima kasih dengan pihak berkuasa Malaysia yang sangat memahami dan membenarkan kami tinggal di sini dan tidak menekan atau menyusahkan kami.

“Kami sudah beberapa kali berurusan jabatan imigresen dan polis tetapi kami selalu dilayan dengan sopan,” kata Jürg.

Tanner berkata mereka pernah mempertimbangkan kemungkinan membangunkan pangkalan di sini melalui program MM2H, tetapi menolak idea selepas mengetahui permohonan mereka mungkin memakan waktu setahun untuk diproses.

“Saya menganggap Malaysia sebuah negara yang cukup stabil dan maju dengan infrastruktur yang baik,” kata Jürg.

MM2H dimulakan pada 2002 sebagai skim yang menawarkan visa pemastautin kepada warga asing yang mesti diperbaharui setiap 10 tahun.

Program ini dibekukan tiga bulan lalu oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk kajian semula dan penilaian semula.

Seorang pelancong lain, Bal Marsius Valdehuesa, 31, berada di sini sejak pertengahan Mac.

“Saya sepatutnya terbang dari Hanoi ke Manila ke Cebu. Tetapi Manila dikenakan perintah pengurungan awal, jadi saya menempah penerbangan dari Hanoi melalui KL ke Cebu. Seperti kebanyakan orang, saya tidak menyedari bagaimana Covid-19 akan mempengaruhi dunia.

“Oleh itu, daripada sepatutnya mendarat di KL dan terbang kembali ke Cebu pada hari yang sama, saya memutuskan untuk melihat KL sekejap. Oleh itu, saya menempah penerbangan Hanoi-ke-KL dan KL-ke-Cebu dalam jarak lima hari.”

Bal berada di sini sejak itu, menggunakan pengalaman masa lalu bekerja sebagai kaunselor kem musim panas dan jurulatih pendakian sebelum tiba di Malaysia.

Selama lapan bulan di sini, beliau membantu penduduk tempatan di Pulau Pinang membangunkan tempat baharu untuk mendaki batu.

“Saya ingin menggalakkan pendakian ini sebagai saluran pelancongan yang lestari dan mesra alam kerana berasa ia cara yang bagus bagi masyarakat tempatan menjana pendapatan.

“Saya rasa Malaysia indah kerana kepelbagaian penduduknya. Kepelbagaian ini tercermin dalam seni bina, makanan, dan cara hidup.

“Di Kuala Lumpur, saya suka terdapatnya hutan simpan dan rumah lama di antara bangunan tinggi bertaraf dunia.”

Bal Marsius Valdehuesa ingin membantu masyarakat setempat membangunkan aktiviti mendaki batu untuk masyarakat tempatan menjana pendapatan. – Gambar The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

Sebagai pencinta alam, beliau melihat potensi di Malaysia dan sedang mempertimbangkan untuk memohon program MM2H.

Sempadan Filipina sudah dibuka dan Bal boleh pulang jika mahu. Tetapi beliau berkata akan tinggal di Malaysia buat masa ini, kerana jumlah kes dan risikonya lebih tinggi di negaranya.

“Tidak ada banyak penerbangan yang masuk.

“Jika saya boleh tinggal lebih lama, saya ingin pindah ke Perlis dan membantu masyarakat setempat membangunkan negeri ini sebagai destinasi pendakian baharu di Asia.

Bagi warga Britain, Jordan Benson, 30, Malaysia menjadi tempat kelahiran anaknya tanpa dirancang.

“Saya mengandung tujuh bulan ketika datang ke Malaysia untuk menjemput ibu saya dan pulang ke UK untuk bersalin sebagaimana yang dirancang,” kata guru yang berpangkalan di Myanmar sejak tiga tahun lalu.

Beliau datang ke Malaysia dari Myanmar dan berniat untuk tinggal hanya semalam sebelum berangkat ke UK.

“Tetapi saya terkandas di sini sejak 14 Mac. Saya masih di sini dengan bayi lelaki saya yang kini berusia enam bulan.”– 17 November, 2020. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen