Pembekuan MM2H jejas rancangan warga asing tinggal di Malaysia


Hailey Chung Wee Kye

Ramai pemohon MM2H mula tawar hati dengan ketidakpastian status program ini dan merancang memilih negara lain sebagai alternatif. – Gambar EPA, 17 November, 2020.

WARGA asing yang ingin menetap di Malaysia berharap program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dibekukan akan dihidupkan semula tidak lama lagi.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mengenai kekecewaan ketika menunggu program itu diaktifkan semula, kerana ketidakpastian menyebabkan banyak rancangan mereka terpaksa ditangguhkan.

Seorang pemohon warga Britain, yang ingin dikenali sebagai Leo CG, berkata masih belum jelas bila program itu akan disambung semula.

Ia dibekukan pada Julai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi mengkaji semula proses, dan kekurangan maklumat mengenainya menyukarkan lelaki berusia 59 tahun untuk membuat rancangan.

“Saya tidak faham mengapa mereka (kementerian) tidak melakukan tinjauan tanpa benar-benar membekukan dan menolak atau mengembalikan permohonan.

“Apakah mereka tahu betapa membebankan dan mahalnya untuk membuat permohonan?”

Sejak tiba di negara ini secara backpacking pada 1989, Leo berkunjung ke Malaysia setiap kali cuti musim panas selama tujuh tahun lalu.

Leo mengetahui mengenai program MM2H pada Oktober 2018 dan bercakap dengan ejen setahun kemudian. Buat masa ini, permohonannya masih tergantung.

Beliau masih menunggu untuk mengetahui apakah beliau memenuhi syarat skim yang menawarkan visa penduduk kemasukkan kepada warga asing yang boleh diperbaharui setiap 10 tahun, terutama jika kerajaan memberikan kriteria baharu sebagai sebagian daripada kajiannya.

Sebagai pertukaran bagi visa dan kemampuan untuk membeli harta tanah, pemohon mesti mempunyai bukti aset cair dan memastikan akaun simpanan tetap di Malaysia pada jumlah tertentu.

“Permohonan saya dihantar pada Disember 2019 tetapi dokumen saya seperti penyata bank dalam format yang salah menyebabkan kelewatan. Dan kemudian, mereka menghentikan program ini,” kata Leo.

Beliau bercakap mengenai tekanan dihadapinya disebabkan pembekuan kepada pemohon sepertinya.

“Kelewatan sembilan hingga 12 bulan sudah cukup teruk, saya boleh membayangkan tunggakan besar yang disebabkan oleh perkara ini yang mungkin berlangsung dua tahun?

“Sukar untuk merancang hidup dengan ketidakpastian seperti itu. Ia sangat memberi tekanan kerana kekurangan maklumat.

“Situasi ini seolah-olah tidak mengambil peduli terhadap pemohon dan bahkan mendorong kami untuk mempertimbangkan negara lain,” kata Leo.

Beliau yang masuk ke Malaysia pada Januari lalu berharap dapat terus berada di sini sehingga permohonan MM2H diproses dan berharap ia diluluskan. – 17 November, 2020. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen