Pemborong makanan rugi sehingga 60% kerana PKPB


Angie Tan

PERNIAGAAN di Pasar Borong Kuala Lumpur baru hendak pulih sedikit semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tetapi kini merudum semula sehingga 60%, kata peniaga.

Seluruh rantaian perniagaan makanan dan minuman terjejas teruk akibat gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dijadual tamat 6 Disember.

Penutupan sekolah, bilangan penumpang terhad dalam kenderaan dan penjarakan fizikal ketat di restoran menyebabkan semua perniagaan berkaitan makanan terjejas, sekali gus memberi kesan kepada perniagaan pasar borong.

Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moi memberitahu The Malaysian Insight, jumlah pengunjung merosot sejak PKPB bermula 14 Oktober lalu.

“Jumlah pengunjung susut separuh dan pendapatan berkurangan antara 50-60%. Perniagaan masih berjalan tapi kurang rancak.”

Pelanggan utama mereka terdiri daripada restoran yang beroperasi berdekatan Pasar Borong KL. Kebanyakan pengusaha tidak membuka restoran, jika buka pun mereka mengecilkan operasi semasa PKPB. Pusat hiburan pula tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock berkata pemborong ikan paling teruk terkesan sejak Mac lalu.

“Kita baru nak bernafas sedikit, semasa Julai perniagaan pulih dalam 70%.”

Menurut Sing, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, kira-kira 20-30% hasil penjualan ikan diperolehi dengan adanya pekerja asing.

Bagaimanapun, perniagaan tidak serancak dahulu selepas kerajaan melarang pekerja asing diambil bekerja di pasar, dan mengutamakan rakyat tempatan.

“Kalau sebelum ini kita pulih dalam 70%, sekarang jatuh kepada 40% kerana PKPB.

“Oleh kerana PKPB juga tak benarkan majlis besar macam perkahwinan dan majlis hari jadi di restoran, jualan makanan laut juga terjejas,” katanya.

Untuk mengelakkan terus kerugian, pemborong ikan mengurangkan pembelian ikan dan makanan laut lain, tambah Sing.

“Mustahil boleh untung tahun ini. Kita terpaksa berpuas hati sebab ada kerja dan masih boleh bayar gaji pekerja.”

Chin daripada persatuan pemborong buah berkata pemborong juga mengurangkan jumlah pembelian untuk memastikan stok mereka terjual. – 17 November, 2020. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen