Belanjawan 2021: Kita wajar perkenal istilah rentan tegar


SAYA agak terganggu dengan naratif yang mengatakan masyarakat tidak mengalami masalah kewangan kerana produk iPhone 12 Pro dan PlayStation 5 habis dijual.

Ia adalah falasi – mengambil sekumpulan kecil jumlah masyarakat, kemudian menggunakan ia sebagai gambaran keseluruhan masyarakat. 

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan mi segera melonjak naik – menggunakan logik yang sama, saya boleh katakan ramai orang yang sedang jatuh miskin dan hanya mampu membeli mi segera yang murah, tetapi tidak sihat. 

Semasa Belanjawan 2021 dibentangkan di Parlimen, beberapa kali saya mendengar perkataan golongan rentan digunakan, saya percaya ia diterjemahkan dari perkataan ‘vulnerable’. 

Seperti kebanyakan terma kerajaan yang dicipta oleh kumpulan elit, selalunya ia akan mengandungi definisi yang tidak tepat, dalam konteks Belanjawan 2021, masih ada kelompok yang berada di bawah masyarakat rentan, tetapi ia kurang diberi perhatian.

Memahami masyarakat rentan yang dimaksudkan kerajaan

Setelah membaca dokumen Belanjawan 2021, saya dapat menyimpulkan masyarakat rentan yang dimaksudkan kerajaan adalah mereka yang berpotensi atau telah kehilangan kerja.

Mereka sekurang-kurangnya memiliki simpanan Kumpulan Wang Bersatu Pekerja (KWSP) dan mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso). 

Disebabkan hal ini perbahasan berkenaan mengeluarkan simpanan sebanyak RM500 sebulan (maksima RM6,000) dan peningkatan tempoh penggantian gaji dalam Skim Insurans Pekerja (SIP) menjadi hujah penting kerajaan dalam mengatakan masyarakat rentan telah dibantu. 

Inilah yang saya maksudkan kumpulan elitis yang merangka perbelanjaan ini cenderung untuk terlepas pandang masyarakat yang paling ‘rentan’.

Saya ingin memperkenalkan kepada kerajaan satu terma baharu, iaitu rentan tegar. Bantuan yang ditawarkan kepada masyarakat rentan tidak akan sampai kepada kelompok rentan tegar. 

Siapa golongan rentan tegar? Mereka adalah pekerja yang tidak memiliki perlindungan sosial seperti KWSP dan Perkeso. Mak cik Kiah yang sering dilaungkan kerajaan adalah contoh yang paling mudah, selaku penjual pisang goreng di bandar, dia tidak memiliki perlindungan seperti ini. 

Akibat daripada PKPB yang sering diadakan secara tiba-tiba, pendapatannya terjejas. Apabila rakyat diberi kebenaran untuk mengeluarkan KWSP kelak, dia tidak mampu mengeluarkan apa-apa. 

Mak cik Kiah juga sedang menyewa rumah – keadaan ini bermakna; walaupun tuan rumah mak cik Kiah akan menerima moratorium, mak cik Kiah tetap perlu membayar sewa rumah. Persoalan saya; dari mana mak cik Kiah ingin mendapatkan wang?

Barangkali ada yang akan berhujah; kumpulan rentan tegar ini akan dibantu melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH). 

Sejak bantuan sosial ini diperkenalkan pada era Najib Razak – kita mengetahui ia sekadar ‘pelegaan’ bukan jawapan kepada masalah kehilangan pendapatan. 

Jika pada situasi normal sahaja bantuan sosial ini tidak cukup dan akan habis kurang daripada sebulan, apa yang membuatkan kita yakin bantuan ini cukup ketika kita berhadapan Covid-19? 

Melihat situasi pada hari ini, sudah masanya kita mula bercakap tentang Universal Basic Income (UBI) yang boleh dilaksanakan dalam masa 2-3 tahun untuk kumpulan rentan tegar ini. 

Saya yakin perbelanjaan tahunan UBI akan lebih rendah berbanding peruntukan yang diberikan oleh Jasa. Pemberian pendapatan asas dalam jumlah yang kecil ini akan memastikan tidak akan ada rakyat yang kelaparan. Ia juga latihan yang baik kepada negara – sama ada kita suka atau tidak, pada masa hadapan UBI tetap akan dilaksanakan. Mengapa? 

Kebanyakan pekerjaan akan diambil alih oleh mesin dan robot. Ia mungkin akan berlaku dalam 20-30 tahun lagi, ia adalah krisis kehilangan pekerjaan yang hampir sama dengan situasi pandemik hari ini.

Kerajaan tidak perlu takut untuk berbelanja dan memberi unjuran kayangan yang terlalu optimis tentang keadaan ekonomi kita. Perbelanjaan harus tertumpu untuk membantu kumpulan rentan dan rentan tegar untuk meneruskan kehidupan mereka. 

Masih banyak perbelanjaan pembangunan yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2021 yang boleh ditangguhkan, dan pemberian wang kepada Jasa misalnya, boleh dibatalkan. 

Dana-dana ini boleh dimasukkan dalam apa-apa inisiatif bantuan sosial yang amat mendesak. Belanjawan yang baik adalah belanjawan yang inklusif, bukan elitis. – 16 November, 2020.

* Rahman Imuda merupakan aktivis buruh.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen