Boleh keluar Akaun 1, umum KWSP


Ahli yang mempunyai baki simpanan dalam Akaun 1 tidak lebih RM90,000 boleh mengeluarkan maksimum RM9,000, sementara mereka yang mempunyai simpanan lebih daripada itu boleh mengeluarkannya sehingga tidak lebih daripada RM60,000, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2020.

SEHINGGA dua juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan boleh mengeluarkan caruman dari Akaun 1, antara RM9,000 hingga RM60,000 tertakluk kepada baki simpanan.

Ini adalah kemudahan yang diperluaskan kepada lebih ramai pencarum KWSP berbanding kemudahan awal yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

Mereka yang mempunyai simpanan di Akaun 1 tidak lebih daripada RM9,000 boleh mengeluarkan maksimum sehingga RM9,000, sementara yang mempunyai simpanan lebih daripada itu boleh mengeluarkannya sehingga tidak lebih daripada RM60,000, umum KWSP.

“Setelah meneliti dan menilai keadaan semasa, KWSP telah mengambil langkah untuk memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan. 

“i-Sinar akan memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli yang layak,” kata KWSP dalam satu kenyataan, hari ini.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10% daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.”

Zafrul dalam satu kenyataan berasingan berkata keseluruhan inisiatif KWSP bagi membantu rakyat di tengah krisis wabak Covid-19 bagi tahun ini dan tahun hadapan berjumlah RM61 bilion.

“Kerajaan berharap pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban aliran tunai, tetapi dapat memenuhi keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Simpanan yang dikeluarkan bagaimanapun perlu diganti sepenuhnya ke dalam Akaun 1, sebelum caruman diuruskan pada kadar pecahan asal iaitu 70% ke Akaun 1 dan 30% ke Akaun 2, tambah KWSP.

Pengeluaran itu pula boleh dibuat secara beransur-ansur untuk tempoh enam bulan, jelas KWSP.

Penyimpan yang baki Akaun 1 mereka tidak lebih RM90,000 boleh mengeluarkan pendahuluan pertama sehingga RM4,000, dengan pengeluaran bulanan seterusnya tidak lebih RM1,000 sebulan.

Mereka yang baki akaunnya lebih daripada RM90,000 boleh mendapat pendahuluan pertama sehingga RM10,000, dengan baki pengeluaran lima bulan seterusnya juga RM10,000 sebulan.

Simpanan dari Akaun 1 yang dikeluarkan akan mula dikreditkan ke akaun bank pencarum bermula Januari 2021 secara berkala untuk tempoh enam bulan dari tarikh pertama pengeluaran, kata kenyataan itu.

“Ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020,” kata KWSP.

Simpanan yang dikeluarkan akan dimasukkan ke akaun bank pencarum pada hujung bulan selepas permohonan dibuat, jelas KWSP.

KWSP dalam pada itu menasihati ahlinya untuk mendapatkan nasihat kewangan daripada pegawai khidmat nasihat persaraan mereka atau Agensi Kaunseli dan Pengurusan Kredit (AKPK).

KWSP juga akan mengumumkan butiran terperinci kelayakan untuk kemudahan berserta terma dan syarat lain dalam masa terdekat.

Semalam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon dilapor berkata pengeluaran Akaun 1 KWSP hanya dibenarkan bagi pencarum yang sudah habis mengeluarkan had maksimum dari Akaun 2 di bawah inisiatif i-Lestari.

Kemudahan i-Lestari diperkenalkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan pada hujung Mac lalu, yang membenarkan pengeluaran RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk tempoh 12 bulan.

Ia ketika itu memberi manfaatkan kepada kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Semasa membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1  khusus bagi mereka yang kehilangan kerja, sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh 12 bulan.

Ia diunjur meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli terjejas selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan, dengan bayaran keseluruhan dijangka melibatkan RM4 bilion.

Umno sebelum ini mendesak Putrajaya membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan Akaun 1 sehingga RM10,000 bagi membantu mereka meneruskan hidup di tengah krisis Covid-19, yang seterusnya akan merancakkan aliran tunai dalam ekonomi negara.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini berkata ahli Parlimen BN hanya akan menyokong Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP itu, selain moratorium bayaran balik pinjaman bank yang lebih menyeluruh sehingga Jun tahun depan.

Najib berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, sebagai jurucakap Kelab Penyokong BN (BNBBC) minggu lalu.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga sebelum itu dalam perbahasannya meminta kerajaan memperluaskan kemudahan pengeluaran Akaun 1 untuk mencakupi lebih ramai rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Beberapa pihak termasuk pakar ekonomi bagaimanapun menyuarakan kebimbangan kebenaran pengeluaran Akaun 1 akan menyulitkan mereka yang terlibat pada hari tua kelak, ketika kadar simpanan akaun itu terlalu rendah bagi banyak orang. β€“ 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen