KERAJAAN mungkin mempertimbangkan untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) di kawasan yang disasarkan di Kuala Lumpur susulan jumlah kes Covid-19 yang terus meningkat, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 469 semalam.
“Hari ini saya mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama Top Glove di Klang termasuk kawasan berdekatan.
“Jadi di Wilayah (Kuala Lumpur) ada juga kemungkinan untuk dikenakan PKPD.
“Namun ini akan diberitahu oleh Kementerian Kesihatan berdasarkan kemungkinan kadar jangkitan,” katanya pada taklimat harian mengenai sekatan perjalanan Covid-19.
Tambahnya, belum ada cadangan mengenai hal ini oleh Kementerian Kesihatan.
Sementara itu Majlis Keselamatan Negara sedang membincangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk perjalanan antara kawasan zon hijau di negara ini.
“Sebagai contoh Pulau Langkawi dan Sabak Bernam adalah kawasan zon hijau, bagaimana kita hendak membenarkan perjalanan yang selamat.
“Mungkin mereka boleh meminta surat dari balai polis untuk mengesahkan bahawa mereka dari Sabak Bernam sebelum keluar,” katanya.
Ismail Sabri berkata MKN sedang berunding dengan Kementerian Pelancongan dan lebih banyak maklumat akan diberikan tidak lama lagi. – 16 November, 2020.
Komen